Termakan janji manis, lesap RM693,000

Mangsa telah menghubungi seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp selepas menekan pautan iklan pelaburan tersebut. Foto hiasan
Mangsa telah menghubungi seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp selepas menekan pautan iklan pelaburan tersebut. Foto hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang warga emas kerugian RM693,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud membabitkan satu syarikat dikenali sebagai Industrial Securities International.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 70 tahun yang juga seorang pengurus syarikat kargo di Pulau Pinang itu dikatakan terpedaya selepas melihat iklan pelaburan tersebut menerusi aplikasi Facebook pada awal Mac lalu.

Menurutnya, mangsa telah menghubungi seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp selepas menekan pautan iklan pelaburan tersebut.

“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak 100 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan dalam tempoh 48 jam.

"Setelah termakan dengan janji manis itu, mangsa telah melakukan 12 transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berbeza antara 4 Jun hingga 3 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Alwi berkata, mangsa kemudiannya tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, malah suspek turut meminta bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan tersebut.

"Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa terutama menerusi media sosial," katanya.

Tambah beliau, usaha membanteras jenayah penipuan memerlukan kerjasama semua pihak dan masyarakat disaran berkongsi maklumat berkaitan modus operandi terbaru penipuan dalam talian kepada keluarga dan kenalan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Jenayah ini boleh dicegah jika masyarakat sentiasa peka dan berwaspada.

"Setiap individu juga berperanan sebagai penyampai mesej kesedaran jenayah komersial untuk membentuk komuniti yang selamat dan bebas daripada 'scammer',” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!