Sektor pertanian di Kedah didominasi warga emas

Mohd Uzir (tiga dari kiri) dan Dzowahir (tiga dari kanan) pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Kedah di Alor Setar.
Mohd Uzir (tiga dari kiri) dan Dzowahir (tiga dari kanan) pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Kedah di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Sektor pertanian di Kedah dilihat semakin menua apabila lebih separuh pemilik tanah dan pengusaha pertanian terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, data direkodkan bancian Jabatan Perangkaan Malaysia itu mungkin tidak menggambarkan realiti sebenar disebabkan oleh beberapa faktor.

Menurutnya, ini kerana data pendaftaran tanah kemungkinan tidak selari dengan peratusan penglibatan golongan muda dalam sektor terbabit.

“Dalam sektor pertanian, tiada had umur bersara, biasanya tanah diusahakan dimiliki oleh orang tua kita kerana ramai belum tukar nama kepada anak-anak. Apabila diteliti pemilikan tanah, kita dapati ia didominasi golongan berusia.

“Jika tanah terbabit ditukar milik atas nama anak-anak, mungkin di atas kertas ramai orang muda yang terlibat. Ramai golongan muda uruskan ladang, namun tanah masih didaftarkan atas nama pemilik (warga emas),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Kedah dirasmikan Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani pada Khamis.

Mohd Uzir jelaskan, kebanyakan ladang yang didaftarkan atas nama pemilik tanah warga emas sebenarnya diusahakan oleh ahli keluarga yang lebih muda.

“Faktor lain yang dikenal pasti menyumbang kepada penuaan sektor pertanian ialah urbanisasi apabila hampir 80 peratus golongan muda memilih untuk berhijrah dan bekerja di bandar dalam sektor industri dan perkhidmatan,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan Bancian Pertanian 2024 bagi Kedah menunjukkan daripada keseluruhan pengusaha pertanian melibatkan 123,194 individu, 61,886 atau 50.2 peratus terdiri daripada kelompok usia 60 tahun ke atas.

Sementara individu berumur 46 hingga 59 tahun sebanyak 39,365 atau 32 peratus, 31 hingga 45 tahun (19,521 orang; 15.8 peratus) dan 15 hingga 30 tahun (2,419 orang; 2 peratus).

Artikel Berkaitan:

Banci tersebut mendapati hanya 124,431 orang di Kedah terlibat dalam bidang pertanian, yang merupakan sebahagian kecil daripada jumlah penduduk seramai 2.2 juta orang.

“Penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar serta perubahan demografi turut mempengaruhi peratusan tersebut,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, bagi merapatkan jurang berkenaan, antara usaha dilakukan ialah penggunaan teknologi dalam pertanian dan pelan peralihan generasi dengan perancangan rapi.

“Petani muda perlu dibekalkan dengan pengetahuan, akses kepada tanah dan contoh kejayaan sebenar. Maklumat berkenaan boleh diakses menerusi platform seperti TaniSTEP untuk kongsi kisah-kisah inspirasi petani muda yang berjaya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun Kedah terkenal sebagai negeri jelapang padi, namun bilangan pengusaha pertanian tertinggi dicatatkan oleh aktiviti tanaman getah seramai 58,344 orang, diikuti tanaman padi (48,921), kelapa sawit (7,158) dan perikanan (4,314).

“Daerah Kubang Pasu mempunyai bilangan pengusaha pertanian tertinggi dengan catatan 19,472 orang diikuti Pendang (17,130), Kota Setar (14,750); Baling (13,752); Padang Terap (12,911); Sik (12,678); Kuala Muda (11,092); Pokok Sena (6,772) dan Yan (6,100),” katanya.

Sementara Dzowahir berkata, sumbangan warga emas dalam sektor pertanian amat dihargai, namun dominasi mereka memberi cabaran besar kepada negara dan negeri dalam memastikan kesinambungan generasi muda.

“Kebergantungan berterusan kepada warga emas beri implikasi jangka panjang, termasuk risiko penurunan produktiviti akibat faktor usia, kesihatan serta kekangan penggunaan teknologi moden.

“Sekiranya tiada pelan peralihan tenaga kerja yang menyeluruh dan inklusif, keterjaminan makanan negara boleh terjejas jika golongan ini tidak lagi aktif,” katanya.

Menurutnya, pelan strategik perlu dirangka untuk menarik minat generasi muda melalui pendekatan lebih progresif, berteknologi tinggi dan berdaya saing dalam memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!