Beri pernyataan palsu, tiga pengarah syarikat didakwa

MELAKA - Tiga pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 5 Mac lalu atas dua pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada pendaftar syarikat.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mengikut pertuduhan pertama, pengarah syarikat Hocjaya Properties Sdn Bhd (HPSB), Norzuraidah Karim didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Form Section 550-Application To Strike Off Company Hocjaya Properties Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan kedua, dua ahli lembaga pengarah syarikat Hocjaya Development Sdn Bhd (HDSB), Siang Tiak Hock dan Koh Kim Ho didakwa secara bersama membuat pernyataan palsu di dalam Form Section 550-Application To Strike Off Company Hocjaya Development Sdn Bhd.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama dengan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.
"Kedua-dua pertuduhan ini berkaitan dengan pengisytiharan yang menyatakan bahawa 'the company is not involved in any impending legal proceedings, whether from within or outside Malaysia'.
"Walau bagaimanapun, pada 29 Julai 2022, ketika pernyataan itu dibuat, syarikat HPSB dan HDSB sedang menghadapi tindakan sivil," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Liyana Amira Kamaludin dan Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh Rajpal Singh Ghai dan Sunther Thulasi.
Hakim Haderiah Siri menetapkan 23 April depan sebagai tarikh bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Justeru, SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

