Pengarah syarikat didakwa beri kenyataan palsu

KAJANG – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 Jun lalu atas dua pertuduhan memberi pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat.
Sandra Sheager Chidambaram membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.
Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Rabu, Sandra didakwa telah membenarkan setiausaha syarikat Heiwa Sangyo Sdn Bhd membuat pernyataan palsu berkaitan pelantikan pengarah dan setiausaha syarikat itu.
Dia didakwa Seksyen 593(a) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SSM, Abdul Hadi Abdul Muti sementara tertuduh diwakili peguam, Goh Cia Yee.
Hakim, Mazuliana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Dalam pada itu, suruhanjaya itu mengingatkan orang awam bahawa, tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang memberi pernyataan, maklumat atau laporan palsu kepada SSM.
”SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti,” kata kenyataan media itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

