'Hentikan kisah mistik di laluan Sungai Korok' - Penduduk gesa pasang lampu jalan, bina penghadang

JITRA - Penduduk Kampung Kemboja, dekat Sungai Korok di sini berharap kerajaan dapat segera memasang lampu jalan dan pagar penghadang keselamatan di Jalan Sungai Korok.
Kebimbangan itu timbul susulan kejadian menyayat hati melibatkan enam sekeluarga yang ditemukan maut dalam kereta Proton Iswara yang terjunam ke dasar sungai tersebut pada pagi Isnin.
Pemasangan infrastruktur tersebut diharapkan membantu mengelakkan tragedi berulang selain menghapuskan persepsi mistik yang membelenggu kawasan berkenaan sejak sekian lama.
Menurut seorang penduduk, Zakaria Ariffin, 74, selain faktor gelap dan ketiadaan pagar penghadang, kawasan itu turut dikaitkan dengan kejadian-kejadian aneh dan cerita mistik yang menjadi bualan orang ramai.
“Kalau ada lampu jalan, mungkin orang boleh nampak kereta jatuh dalam sungai. Kalau pasang lampu selang dua tiang elektrik pun sudah memandai," katanya semasa ditemui pada Selasa.
Apabila ditanya lanjut tentang dakwaan kejadian mistik, dia berkata, perkara tersebut boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Seorang lagi penduduk, Romlah Omar, 64, yang berniaga di gerai berhampiran lokasi kejadian berkata, dia menyaksikan sendiri beberapa kejadian kenderaan terbabas ke dalam sungai, terutama pada waktu malam atau awal pagi.
Sejak empat tahun berniaga di situ, kejadian yang menimpa keluarga tersebut adalah paling tragis berlaku di kawasan berkenaan.
“Gerai saya cuma 100 meter dari tempat kereta itu jatuh. Dah banyak kali kemalangan berlaku di sini,” katanya.
Mengulas tentang kejadian mistik tersebut, Romlah berkata, dia pernah mendengar cerita tentang suara tangisan kanak-kanak di kawasan sungai itu, terutama pada waktu malam namun tidak pasti tentang kesahihannya.
Bagi lagi seorang penduduk, Ahmad Mahidin Hamid 48, pula berkata, kemalangan sering berlaku di laluan itu kerana keadaan jalan yang lurus, gelap dan tiada penghadang.

“Setiap bulan mesti ada kemalangan. Kadang-kadang kereta jatuh sungai. Biasanya bukan orang kampung sini, sebab orang sini dah biasa dengan jalan ni,” katanya.
Dia menambah, laluan itu merupakan jalan utama yang menghubungkan Jitra ke Kubang Sepat dan Alor Setar, menjadikan ia sibuk terutama pada waktu pagi dan petang.
Menurutnya, penduduk berharap agar tragedi ini menjadi titik tolak kepada tindakan segera pihak berkuasa untuk menaik taraf keselamatan laluan tersebut.
“Kalau lampu jalan dipasang dan ada penghadang, bukan saja boleh elak kemalangan, tapi juga hilangkan cerita-cerita mistik ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

