'Saya tak sekuat Qisya, dia tak menangis' - Nenek

Roswati (Kanan) dan Putri Qisya semasa ditemui pada Selasa.
Roswati (Kanan) dan Putri Qisya semasa ditemui pada Selasa.
A
A
A

JERLUN - “Saya tak sekuat Qisya. Dia tengok satu demi satu wajah ahli keluarganya yang sudah tiada, tapi langsung tak menangis. Saya pula yang tak sanggup.”

Demikian luahan penuh sebak Roswati Zainol, 52, nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, satu-satunya anak yang terselamat dalam tragedi menyayat hati melibatkan enam ahli keluarganya yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Terusan Sungai Korok di Jitra, Sabtu lalu.

Dalam kejadian tersebut, Putri Qisya kehilangan kedua ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik-beradiknya yang masih kecil.

“Saya tengok wajah menantu dan cucu-cucu, tapi saya tak sanggup tengok wajah Hidayah.

“Tapi Qisya pergi tengok semua. Dia tenang, dia kuat. Saya pula yang tak mampu tahan air mata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang, di sini.

Roswati (kanan) mentifatkan cucunya, Putri Qisya seorang yang tabah.
Roswati (kanan) mentifatkan cucunya, Putri Qisya seorang yang tabah.

Menurut Roswati, nalurinya sebagai seorang ibu mula terasa tidak sedap hati apabila anaknya, Nurul Hidayah, gagal dihubungi selepas jam 6 pagi hari kejadian.

“Dia sempat hubungi saya jam 5 pagi, beritahu nak balik. Saya dah siap semua barang untuk meniaga roti canai. Tapi bila saya call semula, tak dapat.

Artikel Berkaitan:

“Saya cuba banyak kali sampai jam 7 pagi, tetap tak dapat. Saya terus minta suami simpan barang dan keluar cari mereka,” katanya.

Tambahnya, selepas usaha mencari menemui jalan buntu, ahli keluarga membuat laporan polis dan hebahan di media sosial.

“Saya buat solat hajat, baca Yasin… saya minta, ‘Ya Allah, kalau mereka dah tak ada pun, saya redha. Tapi tolonglah temukan mereka,’” katanya dalam nada sebak.

Roswati berkata, sebaik dimaklumkan terdapat penemuan sebuah kereta di dasar terusan, beliau segera ke lokasi dan ternampak sedikit bahagian bumbung kereta yang tenggelam.

“Bila bomba tarik kereta ke tepi, bapa saya sahkan nombor pendaftaran. Saya tak kuat nak tengok keadaan mereka. Saya cuma duduk dan berzikir,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa cucunya, Putri Qisya, merupakan anak yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa membantu menjaga adik-adik ketika ibu bapanya keluar bekerja.

“Sekarang dia tinggal seorang. Tapi dia kuat, lebih kuat daripada kami semua,” katanya dalam nada terharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!