Militan warga asing: JAKIM bangun modul khas elak fahaman ekstremis

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merangka modul khas bagi menangani penularan fahaman ekstremis dalam kalangan warga asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membentuk pendekatan yang berkesan membendung fahaman radikal dalam kalangan pendatang asing.
"Kita sedang usahakan satu modul yang sesuai untuk pekerja asing seperti warga Bangladesh yang berada di Malaysia.
"Jika kita berjaya membendung fahaman ekstremis dalam kalangan mereka secara tidak langsung kita bukan saja membantu negara kita, tetapi juga negara asal mereka yang turut berdepan ancaman gerakan pelampau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar di Majlis Zakat Korporat 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Selasa.
Menurut beliau, walaupun modul pendidikan sedia ada untuk rakyat tempatan telah lama dilaksanakan melalui ceramah, khutbah dan seminar berteraskan pendekatan wasatiyyah, usaha menyesuaikannya kepada warga asing perlu dilakukan segera.
"Modul domestik memang sudah ada, tapi untuk warga asing ini kita perlu sesuaikan kerana ia penting agar mereka tidak terpengaruh dengan ajaran atau ideologi yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan JAKIM adalah berterusan dalam mendidik masyarakat untuk menghindari sebarang fahaman melampau termasuk ekstremis, Islamofobia dan liberal.
"Apa juga bentuk ancaman sama ada ekstremisme atau liberalisme, kita akan tangani dengan memastikan masyarakat memahami Islam melalui landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang diamalkan di negara ini,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan Malaysia dalam membantu membendung ancaman global dengan memulihkan fahaman radikal dalam kalangan warga asing sebelum ia menular ke negara asal mereka.
"Ancaman bukan saja pada keselamatan negara kita, tapi juga terhadap kestabilan politik negara mereka.
"Tanggungjawab kita bukan saja menjaga negara sendiri, tetapi turut membantu masyarakat global,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan pendedahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengenai satu kumpulan militan asing, iaitu Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB), yang dikesan menyebarkan fahaman ekstrem kepada warga Bangladesh di negara ini sebelum mereka direkrut menyertai kegiatan berkaitan keganasan.
Kumpulan berkenaan didapati menyebarkan ideologi pengganas Islamic State (IS) kepada komuniti migran, terutama warga Bangladesh, melalui media sosial dan aplikasi lain.
Kumpulan berkenaan didapati menyebarkan ideologi pengganas Islamic State (IS) kepada komuniti migran, terutama warga Bangladesh, melalui media sosial dan aplikasi lain.
Siasatan awal bermula selepas polis mengesan beberapa akaun Facebook yang aktif menyebarkan propaganda IS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

