JIM, PDRM bekerjasama tangani militan Bangladesh

Zakaria ketika ditemui pemberita selepas Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media Tahun 2025 di Putrajaya pada Jumaat.
Zakaria ketika ditemui pemberita selepas Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media Tahun 2025 di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha terus membanteras kumpulan militan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyusup masuk secara rahsia ke negara ini dan beroperasi dalam kalangan pekerja asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kes terbabit dalam tindakan pihak polis.

"JIM memandang serius melibatkan isu sebegini.

"Perkara ini dalam tindakan polis dan kita akan bagi kerjasama penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media Tahun 2025 di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seramai 36 individu warga Bangladesh berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun ditahan dalam tiga fasa serbuan di Selangor dan Johor selepas kegiatan mereka dikesan melalui alamat internet tempatan yang aktif menyebarkan fahaman keganasan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan berkenaan dipercayai telah bergerak aktif sejak setahun lalu dan dikesan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengumpulan dana serta tempat merekrut ahli.

Kumpulan ini tidak menyasarkan Malaysia sebagai medan serangan, tetapi menjadikan negara ini sebagai tapak pengkaderan.

Mereka bergerak secara sulit menggunakan aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram bagi menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia) dan perjumpaan ahli secara rahsia.

Dana operasi disalurkan melalui pelbagai saluran termasuk Touch ‘n Go, BeCash dan sistem penghantaran wang antarabangsa selain daripada kutipan yuran tahunan RM500 dan sumbangan derma secara sukarela daripada ahli.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!