Kerajaan disaran ketatkan pemberian visa, tapis kemasukan pekerja asing

SHAH ALAM - Proses mengetatkan pemberian visa dan pengambilan pekerja asing antara langkah jangka panjang yang wajar diberi perhatian bagi mengekang penularan ideologi radikal, khususnya dalam kalangan individu yang berkhidmat dalam sektor pembinaan serta perkilangan.
Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga boleh mencontohi sistem pengesanan keselamatan yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menyekat kemasukan individu luar ke negara terbabit.
“Ini antara perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib iaitu mengetatkan pemberian visa dan pengambilan pekerja asing. Laksanakan sistem pengesanan keselamatan di pejabat kedutaan di Bangladesh berpandukan maklumat Interpol serta kerjasama polis Malaysia-Bangladesh.
“Ini merupakan kaedah yang dilaksanakan oleh AS bagi menyekat kemasukan individu luar ke negara mereka. Jika kita tidak melaksanakannya, ia boleh memberi kesan kepada pengiktirafan sistem keselamatan dan menjejaskan imej Malaysia secara keseluruhan.
“Bukan itu sahaja, pasport Malaysia juga berisiko hilang kebebasan mobiliti ke ratusan negara di seluruh dunia sekiranya kita gagal mengawal keselamatan dalam negara sendiri,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seramai 36 individu warga Bangladesh berusia 25 hingga 35 tahun ditahan dalam tiga fasa serbuan di Selangor dan Johor selepas kegiatan mereka dikesan melalui alamat internet tempatan yang aktif menyebarkan fahaman keganasan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan tersebut dipercayai telah bergerak aktif sejak setahun lalu dan dikesan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengumpulan dana serta tempat merekrut ahli baharu.
Jelas beliau, kumpulan berkenaan tidak menyasarkan Malaysia sebagai medan serangan, sebaliknya menjadikan negara ini sebagai ‘tapak pengkaderan’.
Difahamkan, mereka bergerak secara sulit menggunakan aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram untuk menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia) dan mengadakan perjumpaan ahli secara rahsia.
Malah, dana operasi disalurkan melalui pelbagai saluran termasuk Touch ‘n Go, BeCash dan sistem penghantaran wang antarabangsa, selain kutipan yuran tahunan sebanyak RM500 serta sumbangan derma secara sukarela daripada ahli.
Terbaharu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilaporkan bakal memberi kerjasama penuh kepada PDRM dalam usaha membanteras kumpulan militan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyusup masuk secara rahsia ke negara ini dan beroperasi dalam kalangan pekerja asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

