Yadim, Jakim bekerjasama cegah ideologi radikal

KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan semua institusi agama serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencegah ideologi radikal, terutama dalam kalangan pekerja asing yang beragama Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, negara menentang sebarang ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam atau perbuatan melampau yang tidak diajar dalam agama.
“Sebagai ahli Sunnah Waljamaah yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah, kita menentang sebarang ideologi yang bercanggah dengan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rai Ummah YB Menteri Bersama Komuniti di Kota Bharu, pada Jumaat.
Beliau memberitahu, pihaknya juga akan terus menggerakkan kerjasama dengan kementerian lain, khususnya dalam usaha mengenal pasti pekerja asing yang terpengaruh dengan ideologi berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengenai satu kumpulan militan asing, iaitu Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB), yang dikesan menyebarkan fahaman ekstrem kepada warga Bangladesh di negara ini sebelum mereka direkrut menyertai kegiatan berkaitan keganasan.
Kumpulan berkenaan didapati menyebarkan ideologi pengganas Islamic State (IS) kepada komuniti migran, terutama warga Bangladesh, melalui media sosial dan aplikasi lain.
Siasatan awal bermula selepas polis mengesan beberapa akaun Facebook yang aktif menyebarkan propaganda IS.
Dalam pada itu, pada majlis berkenaan, Mohd Na’im turut menyampaikan sumbangan melalui Yayasan Taqwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM145,000.
Antara sumbangan yang disalurkan termasuk bantuan kepada mangsa ribut, sumbangan khas Bayt Ar Rahman dan pelajar asnaf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
