Peniaga kongsi rezeki, jual semua jenis lauk RM5

Sabarudin menunjukkan antara menu yang dijual di kedai makannya yang beroperasi di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu.
Sabarudin menunjukkan antara menu yang dijual di kedai makannya yang beroperasi di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS – Inisiatif seorang peniaga makanan di Kampung Tok Jiring, di sini, menjual semua jenis lauk pada harga RM5 menarik perhatian ramai.

Harga baharu yang diperkenalkan sejak tiga minggu lalu itu meliputi lebih 30 jenis lauk tanpa mengira sama ada berasaskan ayam, daging mahupun makanan laut.

Sabarudin Ramli, 42, berkata, idea tersebut tercetus selepas melihat pelanggan yang datang ke kedainya namun terpaksa menukar pilihan lauk disebabkan kekangan kewangan.

"Kadang-kadang ada pelanggan datang tapi tak cukup duit untuk beli lauk yang mereka nak. Jadi saya terfikir, lebih baik saya kekalkan satu harga supaya semua orang mampu makan dengan puas.

"Saya tetapkan semua lauk berharga RM5 bagi kesemua 30 jenis lauk yang dijual di sini," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, pada Ahad.

Sabarudin yang sebelum ini pernah menjual lauk serendah RM2.50 sekitar tahun 2014 berkata, kedainya kini dikunjungi kira-kira 300 pelanggan yang datang dari sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Sabarudin melayani pelanggan yang tidak putus berkunjung ke kedai makannya di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu.
Sabarudin melayani pelanggan yang tidak putus berkunjung ke kedai makannya di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu.

Jelasnya, jumlah pelanggan semakin meningkat selepas perniagaannya tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara lauk paling mendapat sambutan ialah ikan patin masak tempoyak, ayam berempah, udang masak lemak cili api, ikan tiga rasa serta kerabu pegaga.

"Untuk perniagaan ini kami mula masak seawal jam 4 pagi. Saya dibantu isteri, Ajuma’ Arasikim Din, 41, serta tiga pekerja bagi menyediakan semua lauk.

"Setiap hari, pelanggan mula datang seawal 10 pagi dan kebiasaannya lauk habis sekitar jam 1.30 tengah hari. Kadang-kadang lebih awal, sekitar jam 12.30 tengah hari.

"Air juga kami jual serendah RM0.50 segelas, antaranya teh 'O' ais dan sirap," katanya yang berniaga pada setiap Ahad hingga Khamis.

Menurutnya, walaupun keuntungan yang diperoleh agak kecil, jualan secara pukal membolehkan perniagaannya terus bertahan, selain dianggap sebagai satu bentuk sedekah.

Kedai makan Sabarudin diserbu seawal jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari bergantung kepada jumlah makanan dan laukbyang disajikan kepada pelanggan.
Kedai makan Sabarudin diserbu seawal jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari bergantung kepada jumlah makanan dan laukbyang disajikan kepada pelanggan.

"Saya ambil bahan mentah terus daripada nelayan. Kami siapkan semua bahan untuk memasak sebelum Subuh.

"Bagi saya, agak tidak berbaloi kalau jual mahal tapi pelanggan tak masuk kedai kita. Lebih baik jual murah, ramai orang datang, dan dalam masa sama saya niatkan untuk bersedekah sambil berniaga," ujarnya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Muhammad Asyraf Haniff Zaki, 35, dari Manir berkata, beliau terkejut apabila hanya membayar RM30 untuk pelbagai jenis lauk yang biasanya mencecah RM50 di tempat lain.

"Hari ini saya datang dengan isteri, ambil ayam percik, daging goreng, ikan patin tempoyak, ulam-ulaman dan bungkus ayam gulai serta udang untuk anak-anak. Tak sampai RM30.

"Pada saya, harga di sini memang sangat murah dan saya amat berpuas hati sebab selain murah, makanan yang dijual juga sedap," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!