DMS Motor kongsi rezeki dalam keberkatan Ramadan

SHAH ALAM – Seramai 200 pelajar tahfiz dan 80 anak yatim daripada lima pusat tahfiz dan rumah anak yatim diraikan pada majlis ‘Raikan Ramadan 2025’ anjuran DMS Motors yang diadakan di ibu pejabat syarikat itu, baru-baru ini.
Pusat tahfiz dan rumah yatim itu ialah Pondok Motivasi Hamlatul Quran, Kuala Selangor, Tahfiz Darul Ulum, Academy Muslimin Centre, Tahfiz Al Quran Ummu Waraqah dan Tahfiz Zaid Bin Tsabit.
Pada majlis itu, anak-anak itu bertadarus dan diberi penghormatan untuk memimpin bacaan doa serta tazkirah selain menikmati juadah berbuka bersama jemputan dan pelanggan syarikat.
Penganjuran majlis itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara syarikat dengan komuniti serta memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya pelajar tahfiz dan anak yatim.

Ketua Pegawai Eksekutif DMS Motors, Datuk Mohamad Salim Abd Rahman berkata, majlis itu bukan sahaja bertujuan untuk meraih keberkatan bulan Ramadan tetapi juga untuk mengukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan.
“Kami percaya rezeki yang Allah SWT kurniakan perlu dikongsi dan dikembalikan kepada masyarakat sebagai tanda kesyukuran dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Jelas beliau DMS Motors mengutamakan nilai Islamik dalam setiap aktiviti perniagaan kerana bagi syarikat, kejayaan tidak hanya diukur dari segi keuntungan material tetapi juga dari segi manfaat yang dapat diberikan kepada masyarakat.
Pada majlis berbuka puasa itu juga, syarikat menyampaikan sumbangan duit raya, baju raya dan barangan keperluan bernilai hampir RM50,000.
“Kami juga memperkenalkan program sosial jangka panjang iaitu ‘DMS Care Program’ bertujuan untuk menyokong pendidikan pelajar tahfiz dan anak yatim yang berpotensi tinggi.
“Sebahagian daripada keuntungan syarikat akan disalurkan untuk membiayai pendidikan mereka sekaligus membantu mencipta peluang untuk masa depan yang lebih baik.
“Salah satu langah yang diambil ialah menawarkan latihan industri dalam bidang automotif kepada pelajar tahfiz dan anak yatim bagi membentuk generasi belia yang berilmu dan berdaya saing,” ujarnya.

DMS Motors juga bekerjasama dengan Pengasas Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi, Ustaz Dr Ashraf Suarin sebagai penasihat syariah syarikat, untuk memastikan semua program dilaksanakan mengikut syariat Islam.
“Ustaz Ashraf memberikan panduan tentang cara terbaik untuk membantu masyarakat tanpa membazir.
"Kami ingin memastikan setiap sumbangan yang diberikan membawa keberkatan dan manfaat kepada penerima. Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan Ustaz Ashraf untuk memastikan program ini dilaksanakan dengan betul.
“Sebagai contoh, jika sebelum ini kami membelanjakan sejumlah wang untuk membeli barangan untuk didermakan secara pembaziran, namun selepas kehadiran Ustaz Ashraf, kami belajar bagaimana menguruskan kewangan dengan lebih bermanfaat dan berkat,” katanya.

Fokus pembiayaan kenderaan tanpa riba
Dalam perkembangan lain, DMS Motors terkenal dengan perkhidmatan pembiayaan kenderaan secara sewa beli yang bebas daripada riba.
Syarikat ini menawarkan pembiayaan in-house yang memudahkan urusan pembelian kenderaan, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai slip gaji atau rekod kewangan yang tetap.
"Kami membantu mereka yang mungkin sukar mendapatkan pinjaman dari bank. Dengan sistem sewa beli, pelanggan boleh memiliki kenderaan selepas tamat tempoh kontrak tanpa perlu membayar riba," jelasnya.
Selain itu, DMS Motors juga menyediakan perkhidmatan tambahan seperti bengkel kereta, perkhidmatan towing dan pusat detailing kenderaan.
Syarikat ini baru sahaja membuka bengkel kedua di Bandar Sunway, Selangor, selepas bengkel pertama di Batu Caves.

Program kebajikan sepanjang Ramadan
- Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih: Diadakan di Pondok Motivasi, Tanjung Karang dan rumah anak yatim.
- Sumbangan Barangan Keperluan Asas: Seperti beras, minyak masak dan barangan dapur kepada keluarga miskin.
- Pemberian Baju Raya: Khusus untuk anak yatim dan golongan tahfiz.
- Bantuan Kewangan: Kepada asnaf dan ibu tunggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
