Peliwat bersiri: Anak lelaki pun tak selamat

MERAK Jalanan tergamam bila baca kisah seorang lelaki Pakistan yang diburu polis di Shah Alam baru-baru ini. Bukan kes samun, bukan kes gaduh. Tapi kes liwat dan cabul. Mangsanya ialah kanak-kanak dan remaja lelaki.
Suspek guna helah meminta tolong ambil barang atau minta buat tempahan e-hailing. Mangsa yang leka kemudian dipeluk dari belakang, ditumbuk atau dicekik sebelum dipaksa ke lokasi sunyi untuk dicabul atau diliwat.
Polis mengesahkan empat laporan telah dibuka, dua disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dua lagi di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Pihak berkuasa percaya semua kes itu dilakukan suspek yang sama, menggunakan cara serupa dan kini poster suspek telah diedarkan bagi membantu penahanan.
Kalau dulu kita selalu pesan anak perempuan jangan keluar seorang, jangan mudah percaya orang yang tidak dikenali. Sekarang, anak lelaki pun dah tak selamat. Silap-silap, jadi sasaran peliwat bersiri yang sanggup intai celah pintu, tunggu peluang.
Merak Jalanan nak ingatkan, pantau anak-anak lelaki sebagaimana kita pantau keselamatan anak perempuan.
Ibu bapa tidak boleh lagi memandang ringan soal keselamatan anak lelaki. Mereka juga perlu diingatkan bahawa bukan semua orang dewasa boleh dipercayai walaupun nampak mesra dan baik.
Kita perlu tahu dengan siapa anak bermain, ke mana mereka pergi, dan jangan membiarkan anak keluar sendirian ke kawasan sunyi.
Satu lagi langkah penting, ajar anak asas mempertahankan diri. Ilmu bela diri bukan untuk bergaduh, tetapi sebagai benteng diri. Sekurang-kurangnya mereka tahu cara melepaskan diri.
Dan andai berlaku juga, jangan sesekali malu untuk membuat laporan. Diam hanya membuka ruang lebih ramai anak orang lain menjadi mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
