Kes liwat bersiri: Lelaki Pakistan tidak sempat lolos ke negara jiran, dicekup di Kedah

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Pakistan yang cuba melarikan diri ke negara jiran selepas dipercayai terlibat dalam kes liwat dan amang seksual terhadap kanak-kanak di daerah ini berjaya diberkas di Kuala Nerang, Kedah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek utama berusia 24 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Menurutnya, tangkapan dilaksanakan sebelum suspek sempat meloloskan diri keluar dari Malaysia ke negara jiran.
"Turut ditangkap ialah seorang lagi lelaki warga Pakistan yang berperanan membantu suspek utama menyembunyikan diri daripada dikesan oleh pihak polis.
"Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut menasihati ibu bapa agar tidak memandang ringan soal keselamatan anak-anak dan tidak membiarkan mereka keluar bersendirian ke kawasan sunyi yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa jenayah oleh individu tidak dikenali.
Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895.
Sebelum ini, tular di beberapa platform media sosial mengenai kejadian beberapa orang kanak-kanak lelaki diliwat dan dicabul oleh seorang lelaki warga Pakistan di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28, Shah Alam.
Sinar Harian kemudiannya melaporkan bahawa suspek dipercayai terbabit dalam empat siri kejadian cabul dan liwat melibatkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan, 13 dan 14 tahun serta seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
Modus operandi suspek adalah dengan memanggil mangsa dan menyuruh mereka mengambil barang di sesuatu tempat sebelum memeluk dari belakang serta mencekik jika mangsa melawan.
Difahamkan, suspek juga akan berpura-pura meminta bantuan mangsa untuk menempah kenderaan e-hailing atau bertanyakan sesuatu. Namun, apabila mangsa leka, suspek akan menumbuk dan menarik mereka ke lokasi yang dirasakan sesuai untuk melakukan perbuatan liwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
