Kes liwat bersiri: Suspek lelaki Pakistan menyorok di rumah kawan dalam ladang getah

SHAH ALAM - Seorang lelaki Pakistan berusia 43 tahun yang ditahan bersama suspek utama kes liwat dan amang seksual kanak-kanak dipercayai berperanan menyorokkan suspek terbabit di rumahnya di kawasan ladang getah di Kuala Nerang, Kedah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua warga Pakistan itu telah ditahan kira-kira jam 2 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Selasa.
Menurutnya, suspek utama berusia 24 tahun dan siasatan awal mengaku terlibat dalam kesemua kes yang disiasat.
"Suspek ini telah pergi ke ladang tersebut untuk bersembunyi sejak tiga hari lepas.
"Suspek kedua berusia 43 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah di ladang terbabit dipercayai bertindak menyembunyikan suspek utama yang juga rakannya itu di rumahnya," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala dua lagi mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga 12 Julai.
Sebelum ini, tular di beberapa platform media sosial kejadian beberapa orang kanak-kanak lelaki telah diliwat dan dicabul oleh seorang lelaki Pakistan di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28, Shah Alam.
Sinar Harian kemudian melaporkan suspek dipercayai terbabit dalam empat siri kejadian cabul dan liwat melibatkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan, 13 dan 14 tahun serta seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
Modus operandi suspek ialah memanggil mangsa dan menyuruh mengambil barang di sesuatu tempat sebelum memeluk mangsa dari belakang dan mencekik mangsa jika melawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
