Pemimpin berbahasa kesat, penyokong pula bersorak

MERAK Jalanan kurang senang apabila pentas politik yang sepatutnya menjadi ruang berhujah secara matang bertukar seperti gelanggang melampiaskan emosi.
Lebih mengecewakan apabila kata-kata keterlaluan dan kurang enak itu dilontarkan oleh seorang pemimpin secara terbuka di khalayak ramai.
Bahasa sebegitu bukan sahaja mencalar imej peribadi, malah langsung tidak mencerminkan akhlak seorang pemimpin yang dihormati.
Dalam dunia politik, tidak bersetuju itu lumrah tetapi cara menjawab kritikan itulah yang membezakan darjat kepimpinan.
Jika emosi mendahului rasional, rakyat akan menilai, bukan sekadar apa yang dipimpin tetapi bagaimana ia dipimpin.
Merak Jalanan melihat teguran termasuk daripada tokoh agama sebagai peringatan yang wajar. Mufti menegaskan lidah pemimpin membawa kesan besar kepada masyarakat.
Kata-kata mereka bukan sekadar keluar daripada mulut tetapi menjadi contoh yang ditiru. Jika bahasa kesat dibiasakan, jangan pula kita terkejut budaya hormat akan turut terhakis.
Lebih menghairankan apabila penyokong bersorak, seolah-olah kata nista itu bahan hiburan. Sejak bila penghinaan layak menerima tepukan? Politik matang sepatutnya mendidik rakyat berfikir, bukan mengajar bersorak pada kebiadaban.
Merak Jalanan harap semua pemimpin, tanpa mengira parti, kembali kepada asas kepimpinan. Jaga tutur kata, jaga adab. Jawatan itu amanah, bukan lesen untuk menjadi riak dan angkuh.
Tambahan pula Ramadan semakin menghampiri, bukankah itu waktu terbaik mendidik lidah dan jiwa?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
