Siapa sebenarnya boleh guna siren, lampu biru?

MERAK Jalanan tertarik dengan isu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membunyikan siren dan menyalakan lampu beacon biru di Lebuhraya MEX sehingga mencetuskan perbincangan di alam maya.
Video berdurasi beberapa saat sudah cukup untuk menjadikan semua orang 'naik angin' dengan tindakan pemandu MPV itu apabila melihat kenderaan awam terpaksa ke tepi memberi laluan.
Bila sudah tular, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pun tampil memberi penjelasan. Katanya kenderaan itu sudah mendapat kebenaran dan digunakan untuk tugas rasmi kementerian. Bermakna, kes selesai.
Tapi bagi netizen, jawapan itu belum ‘cukup masak’. Kalau sekadar 'ada kebenaran' bunyinya macam memberi alasan secara berlapik.
Merak Jalanan buat sedikit rujukan. Memang ada undang-undang membenarkan kenderaan memasang siren kecemasan dan lampu beacon, dengan syarat ada kebenaran JPJ. Diberikan kepada kenderaan yang digunakan untuk tugas-tugas rasmi memerlukan kelancaran trafik atau atas faktor keselamatan tertentu.
Masalahnya, peraturan ini agak mengelirukan. Orang ramai bukan sekadar mahu tahu adakah boleh, tetapi kenapa boleh, siapa boleh dan bila boleh digunakan.
Tidak hairanlah ramai yang syak ia disalah gunakan walaupun mungkin semuanya sah di sisi undang-undang.
Pada pandangan Merak Jalanan, sepatutnya kenderaan yang diberikan kebenaran mestilah dilengkapi logo kementerian. Perlu diiringi polis trafik ketika siren dipasang supaya tidak membahayakan pengguna kenderaan lain dan tidak wujud rasa ragu-ragu untuk memberi laluan.
Daripada biar netizen berteka-teki, lebih baik JPJ kaji semula perkara ini supaya tidak lagi kena cacian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
