Karangkraf sumbang 150 al-Quran, buku ilmiah kepada penghuni Penjara Kajang

SHAH ALAM - Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyumbangkan 150 naskhah al-Quran dan 300 bahan bacaan berilmiah kepada penghuni tirai besi Penjara Kajang baru-baru ini.
Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang berkata, sumbangan wakaf itu bukan sahaja bertujuan menyuburkan amalan membaca dalam kalangan penghuni, malah ia juga sebagai panduan kepada golongan sasar untuk memahami setiap makna potongan ayat suci al-Quran dengan lebih mendalam.
Menurut Hashim, inisiatif tersebut sudah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Karangkraf dalam menyampaikan ilmu dan mesej keharmonian kepada masyarakat.
"Inisiatif ini bermula sejak negara dilanda Covid-19 dan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana Karangkraf melalui WUIF mengedarkan al-Quran kepada petugas barisan hadapan terlebih dahulu.
"Alhamdulillah, sambutan yang diterima ketika itu amat menggalakkan dan semakin mendapat perhatian masyarakat. Justeru, kami menyebarluaskan sumbangan tersebut kepada warga penjara, kakitangan hospital, institusi pendidikan, rumah anak yatim dan sebagainya.
"Program bersama pengurusan Penjara Kajang baru-baru ini adalah kesinambungan daripada program yang terjalin sekian lama antara Karangkraf, WUIF dan pihak Jabatan Penjara Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sesi penyampaian sumbangan kepada penghuni penjara diadakan di Surau at-Taqwa, Penjara Kajang pada 1 Julai lalu.
Program turut diserikan dengan tazkirah sempena Maal Hijrah daripada Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari Sdn Bhd, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penjara Kajang, PKK Mohd Haniff Che Omar; Ketua Bahagian Korektif dan Pemasyarakatan Penjara Kajang, PKP Supian Kamarudin; Ketua Unit Agama Penjara Kajang, Mohammad Hafiz Bakren serta Penyelaras Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang, Muhammad Taufiq Norazimi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

