Karangkraf sumbang al-Quran, bahan bacaan kepada mangsa kebakaran paip gas

SUBANG JAYA - Sebanyak 200 bahan bacaan merangkumi al-Quran, buku motivasi dan buku kanak-kanak disumbangkan oleh Kumpulan Karangkraf kepada mangsa kebakaran paip gas.
Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, mangsa yang beragama Islam boleh menggunakannya untuk mengisi masa senggang sepanjang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, kanak-kanak yang terkesan juga boleh memanfaatkan masa dengan menelaah buku selepas sesi persekolahan.
“Sumbangan ini khusus diberikan kepada mangsa beragama Islam supaya mereka boleh membaca, mempelajari dan memahami al-Quran berserta terjemahan.
“Ini bukan pemberian daripada Karangkraf sahaja, tetapi orang ramai yang mewakafkan al-Quran.
“Saya berharap selain mangsa, al-Quran ini dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam kalangan pihak pengurusan bencana juga supaya mereka belajar bagaimana hendak menyantuni dan mendampingi mangsa secara berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, di sini pada Selasa.
Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, Che Wan Rohaini Ramly bersama Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.
Setakat jam 7 pagi, Selasa, seramai 353 mangsa daripada 91 bilangan keluarga ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights susulan insiden kebakaran serta letupan paip gas minggu lalu.
Sementara itu, Che Wan Rohaini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Karangkraf kerana sudi menghulurkan bantuan dari segi pemberian bahan berilmiah.
Tambahnya, sudah menjadi tanggungjawab PPD Petaling Perdana dalam memastikan kanak-kanak sentiasa memiliki bahan bacaan meskipun trauma dengan insiden terbabit dan takut untuk meneruskan sesi persekolahan.
“Pihak kami selaku pemudah cara akan membantu mengagihkan bantuan ini kepada mangsa di PPS, dewan serbaguna dan hospital.
“Kami sangat terharu dengan inisiatif dibuat Karangkraf dan agensi-agensi lain dalam memastikan pendidikan anak-anak ini tidak tercicir,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

