Khutbah Jumaat: Persaingan politik rugikan umat Islam

Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah. Gambar hiasan
Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah. Gambar hiasan
A
A
A

IPOH – Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan ummah akan hilang apabila berlakunya perpecahan disebabkan persaingan politik dan perebutan kuasa.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyatakan bahawa kekuatan itu sepatutnya digunakan untuk mempertahankan agama dan membina tamadun bagi menyejahterakan bumi.

Menurutnya, peristiwa Karbala menjadi bukti bahawa perselisihan sesama ummah boleh mengakibatkan penderitaan yang merugikan serta melenyapkan nilai-nilai keadilan dan kasih sayang sesama Muslim.

"Peristiwa Karbala berlaku pada 10 Muharam 61 Hijrah, yang tercetus daripada pengkhianatan dan pertembungan politik, dan berakhir dengan syahidnya cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussain serta sebahagian ahli keluarga dan pengikutnya.

"Antara pengajaran penting daripada peristiwa ini ialah kerugian besar yang dialami ummah akibat perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri disebabkan perebutan kuasa.

"Konflik yang berlaku bukan sahaja mengakibatkan pertumpahan darah dalam bulan yang diharamkan berperang, tetapi turut memecah dan melemahkan kekuatan ummah ketika berdepan musuh sebenar Islam," katanya.

Khutbah bertajuk 'Bulan Muharam: Sejarah dan Iktibar' itu turut menyatakan bahawa keimanan yang jitu serta keteguhan berpegang kepada prinsip kebenaran akan membawa kepada kemenangan dan pertolongan Ilahi.

"Perpecahan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam sangat merugikan, malah boleh membawa kehancuran.

"Oleh itu, umat Islam wajib mengutamakan perpaduan, mengurangkan perselisihan serta menolak segala bentuk perbalahan berunsur mazhab, perbezaan politik dan dendam warisan yang boleh memecahbelahkan ummah," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, khutbah berkenaan turut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW membimbing ummah agar menyambut kejayaan dan kemenangan dengan penuh kesyukuran kepada ALLAH SWT melalui amalan kebaikan yang berterusan.

"Umat Islam dianjurkan berpuasa sunat Asyura pada 10 Muharam, atau lebih afdal digandingkan dengan sehari sebelumnya atau selepasnya, iaitu pada 9 dan 10 Muharam, atau pada 10 dan 11 Muharam, sebagai tanda membezakan amalan umat Islam dengan amalan golongan Yahudi.

"Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat, tabiin serta pengikut mereka daripada kalangan Asya‘irah dan Maturidiah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!