Mesej surah al-Saff untuk umat Islam

Program World #QuranHour 2025 akan berlangsung pada 25 Mac depan.
Program World #QuranHour 2025 akan berlangsung pada 25 Mac depan.
A
A
A

TANGGAL 25 Mac ini bersamaan 24 Ramadan akan berlangsung acara World #QuranHour 2025.

Bagi tahun ini pihak penganjur iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Yayasan Ikhlas Kuala Lumpur telah memilih Surah Al-Saff (Surah ke-61) sebagai tema sambutan.

Makalah ini merupakan suatu cebisan daripada tafsir Surah ini yang boleh dikemukakan untuk bacaan umum.

Surah ke-61 mendapat judulnya daripada perkataan Arab saff yang terdapat dalam ayat 4 dalam Surah ini.

Perkataan saff bermakna 'barisan yang teratur rapi'. Ayat tersebut berbunyi “Sesungguhnya ALLAH menyayangi orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur rapi bagaikan mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Maka dengan makna tersebut iaitu 'barisan yang teratur rapi' jelaslah bahawa judul Surah ini melambangkan semangat dan ruh disiplin yang tinggi yang dituntut oleh Allah ke atas umat Islam.

Tegasnya, Kitab Suci al-Quran menyuruh orang-orang Islam supaya menjadi umat paling berdisplin di dunia dalam semua bidang kehidupan.

Suruhan ini adalah selaras dengan pencirian umat Islam sebagai umat terbaik (khayra ummatin) seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dalam Surah Aali Imran (3), ayat 110.

Artikel Berkaitan:

Dari perspektif al-Quran terdapat pertalian rapat antara hidup bermasyarakat yang penuh disiplin dan kedudukan sebagai umat terbaik.

Hanya dengan memenuhi tiga syarat utama untuk menjadi umat terbaik seperti yang digariskan oleh al-Quran dalam ayat tersebut akan umat Islam muncul dengan jayanya sebagai umat terbaik di dunia.

Tiga syarat tersebut adalah pertamanya kegigihan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, keduanya kesungguhan dalam melarang daripada segala perkara yang salah (yakni yang buruk dan keji) dan ketiganya beriman kepada ALLAH.

Penghayatan ketiga-tiga syarat ini akan membentuk dan mencorakkan kehidupan berdisiplin di peringkat individu dan juga di peringkat masyarakat.

Disiplin yang dihayati tersebut adalah menyeluruh sifatnya. Sekaligus ia merujuk kepada disiplin badan, disiplin akal, disiplin jiwa dan disiplin hati kalbu.

Berkat prinsip tauhid yang menyatupadukan kepelbagaian dan juga berkat amal ibadat menurut ajaran Syariah yang menjadi sumber disiplin dalam kehidupan dunia maka keempat-empat disiplin ini terjalin dalam suatu kesatuan sehingga melahirkan insan sempurna.

Dengan itu dapat disimpulkan bahawa salah satu ciri penting umat terbaik ialah memiliki budaya berdisiplin.

Dalam bahasa dan budaya Melayu budaya berdisiplin dipanggil budaya beradab. Keseluruhan manifestasi budaya beradab ini disebut peradaban yang membawa erti yang sama dengan tamadun.

Dengan kata lain bangsa yang ingin menjadi bangsa bertamadun tinggi haruslah memupuk semangat dan kualiti disiplin bermasyarakat yang tinggi.

Sangatlah menarik bahawa aspek budaya berdisiplin yang ditonjolkan oleh Surah al-Saff sebagai ciri keumatan atau ummatic tulen ialah tentang sifat jujur, benar (siddiq) dan ikhlas.

Tetapi penegasan tentang budaya berdisiplin yang dibuat dalam Surah ini adalah dengan cara menonjolkan sifat-sifat yang berlawanan dengan sifat jujur, sifat berwibawa dan sifat ikhlas.

Sifat tidak jujur, sifat tidak berwibawa dan sifat tidak ikhlas merupakan sifat-sifat tidak baik manusia yang boleh dikaitkan dengan kelakuan tidak mengotakan apa yang diperkatakan yang disebut dalam ayat 2 dalam Surah ini.

Ayat ini menyoal orang-orang beriman mengapa mereka tidak mengotakan apa yang mereka katakan: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya?” Ayat ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman dan tentunya ia membawa pengertian dan kepentingan tersendiri.

Isu yang dibangkitkan dalam ayat ini untuk perhatian mereka ialah isu kelakuan manusia yang memperkatakan sesuatu tetapi tidak memperkotakan apa yang dikatakan.

Kelakuan manusia seperti ini patut dijauhi oleh orang-orang beriman kerana seperti yang ditegaskan dalam ayat berikutnya (ayat 3) kelakuan ini adalah kelakuan buruk yang dibenci oleh ALLAH.

Tambah lagi kelakuan buruk ini jelas bertentangan dengan sifat-sifat orang beriman yang digariskan dalam al-Quran. ALLAH mencintai orang-orang yang beriman kerana akhlak mereka di sisiNya dan juga di sisi masyarakat adalah terpuji lagi indah.

Ada banyak sebab mengapa dari perspektif Islam kelakuan manusia memperkatakan sesuatu tetapi tidak memperkotakannya dianggap sebagai kelakuan buruk yang dibenci ALLAH.

Salah satu sebabnya yang ketara, sifat tidak jujur, sifat tidak ikhlas dan sifat tidak berwibawa yang boleh dikaitkan dengan kelakuan ini adalah bertentangan dengan budaya umat berdisipin yang Allah kehendaki dan ia boleh menghakis keupayaan kita untuk memenuhi ketiga-tiga kriteria umat terbaik.

Tetapi sebab lebih penting lagi ialah bahawa sekiranya kelakuan ini berleluasa dalam sesebuah masyarakat maka ia akan memporak-perandakan masyarakat itu sendiri.

Ini adalah kerana berpegang teguh pada kata-kata manusia merupakan salah satu syarat asasi tertegaknya peraturan hidup dan undang-undang yang dapat menjamin ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.

Ucapan dan perbuatan seharusnya iring mengiringi antara satu sama lain. Tanpa keselarasan antara keduanya kepimpinan menerusi teladan tidak mungkin tercapai.

Agama khasnya mengutamakan konsep kepimpinan menerusi teladan kerana ia tidak dapat ditegakkan tanpa kepimpinan seperti itu.

Dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Islam, suatu agama baru, di kota Mekah dan kota Madinah Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan dengan jelas ciri-ciri, corak dan gaya kepimpinan menerusi teladan.

Dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. tidak terdapat sebarang percanggahan antara ucapan dan perbuatan.

Oleh sebab itu kepimpinannya paling berkesan. Sebagai akibatnya Nabi s.a.w. berjaya membangunkan budaya kepengikutan luar biasa yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.

Daripada menjadi pengikut-pengikut Baginda s.a.w. para sahabatnya muncul selepasnya sebagai para pemimpin terkemuka dalam pelbagai lapangan kehidupan sehingga berjaya menakluki dunia.

ALLAH mahu orang-orang beriman memimpin dunia. Maka Dia menganjurkan supaya mereka menjadi umat berdisiplin yang melayakkan mereka digelar umat terbaik sambil memperingatkan mereka bahawa kelakuan memperkatakan sesuatu tetapi tidak memperkotakannya adalah berlawanan dengan budaya disiplin yang hendak ditegakkan oleh agama Islam.

Inilah di antara hikmah yang terkandung dalam ayat seruan kepada orang-orang beriman (Surah al-Saff, ayat 2).

Dalam al-Quran terdapat lebih daripada 80 ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman!” Menurut epistemologi (teori ilmu) tauhidi yang saya fahami dan perjuangkan setiap ayat dalam kategori ini membawa maksud bahawa ia adalah merupakan program Ilahi untuk dihayati dan diperjuangkan oleh umat Islam.

Dengan kata lain ayat-ayat ini bertujuan antara lain untuk memandu umat Islam ke arah pencapaian matlamat sebagai umat cemerlang dan gemilang.

Dalam Surah al-Saff ada tiga ayat seperti itu, iaitu ayat 61:2, ayat 61:10 dan ayat 61:14. Ayat 61:2 sudah dibincangkan. Ayat 61:10 menganjurkan program “perniagaan yang boleh menyelamatkan orang-orang Islam daripada azab pedih dan kesengsaraan.”

Inti pati program ini ialah “keimanan dengan ALLAH dan Rasul dan jihad fi sabillah dengan harta dan jiwa”.

Ayat 61:14 menganjurkan program untuk umat Islam menjadi pembantu-pembantu Allah (ansarallah). Inilah tiga program untuk kecemerlangan umat (ummatic excellence) yang diajarkan oleh Surah al-Saff.

*Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar ialah Rektor UIAM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!