Wajar atau tidak tambah baik garis panduan berkaitan umat Islam?

KERAJAAN sebelum ini dilaporkan sedang menambah baik garis panduan berkaitan penglibatan umat Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jemaah Menteri pada 7 Februari memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan berkenaan.
Sehubungan itu ada dalam kalangan rakyat yang menyokong dan ada juga yang menolak proses tambah baik garis panduan berkenaan bersandarkan pada hujah masing-masing.
SOKONG
Tambah baik perlu selari dengan perubahan
Pada pendapat saya, penambahbaikan garis panduan sedia ada berhubung penglibatan umat Islam dalam sambutan perayaan agama lain perlu selari dengan perubahan masa kini yang melibatkan penggunaan teknologi dan media sosial.
Dalam era digital ini, maklumat disebarkan dengan pantas melalui Facebook, Instagram dan TikTok.
Justeru, garis panduan yang telah ditambah baik harus memberikan penjelasan jelas mengenai batasan dan etika yang perlu dipatuhi oleh umat Islam ketika berkongsi kandungan berkaitan perayaan agama lain di media sosial.
Selain itu, kita perlu pertimbangkan cabaran baharu susulan kecanggihan pembangunan teknologi masa kini.
Sebagai contoh, penyertaan dalam majlis sambutan secara dalam talian atau ucapan perayaan dalam bentuk digital mungkin memerlukan garis panduan yang lebih terperinci bagi memastikan tidak berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Di samping itu, generasi baharu juga perlu diberi penekanan dari segi pendidikan dan kefahaman yang betul mengenai adab serta batas agama yang saya fikir perlu ditekankan dalam garis panduan baharu.
- Pekerja swasta, Muhammad Mikhail Mohazar, 32.

Penting untuk pelihara akidah umat Islam
Adalah wajar kerajaan menambah baik garis panduan sedia ada berhubung penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain di negara ini.
Ia penting untuk memelihara pegangan akidah umat Islam.
Bagaimanapun umat Islam boleh menghadiri majlis perayaan agama lain namun perlu mematuhi adab dan tidak melanggar batas akidah bagi memastikan agama Islam tidak tercemar.
Bukan itu sahaja, umat Islam juga perlu menjaga batas mereka daripada melakukan perbuatan yang tidak sopan di majlis masyarakat agama lain.
Ia penting bagi menjaga keharmonian dan hubungan baik sesama masyarakat, sekali gus mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.
Secara prinsipnya, Islam tidak menghalang umatnya untuk menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam, termasuk menghadiri majlis perayaan mereka, selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Namun cabaran semasa terutamanya dunia digital dan penyertaan dalam perayaan boleh berlaku sama ada secara fizikal atau melalui siaran di media sosial.
Oleh yang demikian, garis panduan lebih terperinci akan membantu mengelakkan kekeliruan dan memastikan umat Islam dapat berinteraksi secara harmoni tanpa menjejaskan prinsip agama.
- Pegawai khidmat pelanggan pemasaran, Salmiah Mohd Zain, 54
BANGKANG
Garis panduan sedia ada masih relevan
Pada pendapat saya, garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain telah wujud sekian lama dan boleh dirujuk semula menerusi keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 12 April 2005.
Justeru, tiada keperluan untuk menambah baik garis panduan tersebut kerana penetapan sedia ada sudah cukup jelas, mudah untuk diakses dan diamalkan oleh masyarakat.
Garis panduan yang ada sekarang masih lagi relevan dan seimbang antara amalan toleransi sesama agama serta pemeliharaan akidah Islam.
Bukan itu sahaja, setiap individu juga perlu mempunyai inisiatif dan kesedaran sendiri untuk mengetahui batas agama, apa yang boleh dilakukan atau sebaliknya.
Kesedaran diri amat penting bagi memastikan seseorang itu tidak melakukan sesuatu yang melampaui batas sehingga boleh menjejaskan akidahnya.
Dalam dunia moden, sumber ilmu agama boleh diperoleh dengan mudah melalui pelbagai kaedah termasuk pendidikan di rumah, sekolah dan universiti.
Masyarakat juga boleh menimba ilmu melalui sumber dalam talian.
Melalui akses tersebut, saya fikir tidak ada masalah untuk masyarakat memahami dan mendalami batasan penglibatan dalam perayaan agama lain tanpa bergantung sepenuhnya pada garis panduan baharu.
- Pegawai pemasaran, Nur Atika Daud, 33.
Tidak perlu garis panduan, fahami batas akidah
Bagi saya, tidak perlu mewujudkan garis panduan berhubung penglibatan umat Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Sebaliknya, umat Islam perlu tahu dan fahami secara asas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika mengikuti upacara agama lain.
Sebagaimana kita tahu, umat Islam boleh hadir untuk menghormati pelawaan tetapi tidak perlu mengikut upacara yang diadakan.
Ini bukan perkara baharu dan dalam ajaran Islam sendiri sudah ada garis pemisah yang jelas tentang apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang.
Sekiranya kita fahami hal ini, tidak perlu lagi adanya garis panduan daripada Jakim atau mana-mana badan agama negeri.
Secara amnya, umat Islam juga telah diajar untuk saling menghormati dan hidup harmoni dengan semua orang tanpa mengira agama mereka.
Pada masa sama, kita juga perlu sedar batas sebagai umat Islam agar perbuatan kita tidak merosakkan akidah.
Hadir sebagai tetamu untuk meraikan kebersamaan itu tidak bermaksud kita boleh terlibat dalam upacara keagamaan mereka.
Itu perkara asas yang setiap umat Islam patut faham. Kalau terlalu bergantung kepada garis panduan rasmi, ia menunjukkan seolah-olah kita tidak boleh berfikir sendiri.Paling penting adalah kesedaran dalam diri sebagai umat Islam itu sendiri.
Kalau masing-masing faham tentang batas akidah dan tahu menjaga prinsip agama, isu ini tidak rumit sebenarnya.
- Wartawan, Muhammad Zikry Mohamad Marzuki, 26
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!