Rumah Ngaji Perak hantar al-Quran, telekung bantu mangsa banjir di Aceh

Robaatun Hadayiah (kiri) bersama sukarelawan menyerahkan sumbangan al-Quran kepada mangsa banjir di Aceh, Indonesia.
Robaatun Hadayiah (kiri) bersama sukarelawan menyerahkan sumbangan al-Quran kepada mangsa banjir di Aceh, Indonesia.
A
A
A

BANDA ACEH – Rumah Ngaji Perak menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ke Banda Aceh, Indonesia sebagai membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengerusinya, Robaatun Hadayiah Harun berkata, misi tersebut tercetus apabila seorang sahabat memaklumkan keperluan mendesak al-Quran di kawasan terjejas sebelum pihaknya dijemput untuk berkolaborasi bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Al Attas Care.

Menurutnya, pada peringkat awal, Rumah Ngaji Perak hanya menyalurkan sumbangan kewangan kepada dua orang ustaz di Panton Labu dan Pidie Jaya bagi tujuan pembelian al-Quran.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan wanita di kawasan terjejas turut memerlukan telekung dan tudung, menyebabkan kami membuat keputusan untuk turun sendiri ke lokasi bagi menyampaikan bantuan.

"Sebanyak RM9,000 diperuntukkan bagi wakaf al-Quran manakala RM12,000 lagi melibatkan bantuan kewangan dan barangan dapur. Kami juga membawa telekung dan tudung dengan anggaran berat kira-kira 50 kilogram dari Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Robaatun Hadayiah (enam dari kanan) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada salah seorang mangsa banjir terlibat ketika misi bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia baru-baru ini.
Robaatun Hadayiah (enam dari kanan) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada salah seorang mangsa banjir terlibat ketika misi bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia baru-baru ini.

Robaatun Hadayiah berkata, misi bantuan yang berlangsung pada 8 dan 9 Februari lalu itu melibatkan beberapa kawasan terjejas antaranya Pidie Jaya termasuk Ma’had Rayatul Quran dan Kampung Manasah Mancang selain Bireuen, Juli, Samalanga dan Panton Labu.

Jelasnya, antara bantuan yang disalurkan ialah pek makanan asas merangkumi beras, tepung, gula, minyak masak, sirap dan sardin, selain wakaf al-Quran serta sumbangan tunai kepada keluarga terjejas.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sukarelawan turut mengambil kesempatan menziarahi mangsa banjir bagi memberikan sokongan moral serta doa kepada mereka yang terkesan.

Mengulas cabaran sepanjang misi, Robaatun berkata, kesukaran utama ialah untuk memasuki Daerah Langkahan berikutan kerosakan beberapa jambatan akibat banjir.

"Hanya terdapat satu jambatan yang boleh dilalui dan kami terpaksa menunggu berjam-jam.

"Akhirnya, kami meminta bantuan ustaz dari Panton Labu untuk bertemu di kawasan sebelum jambatan tersebut," katanya.

Menurutnya, seramai lima sukarelawan terlibat secara langsung dalam misi itu melibatkan tiga wakil Rumah Ngaji Perak dan dua daripada Al Attas Care, manakala kutipan dana turut disokong oleh Ahli Jawatankuasa sekretariat kedua-dua organisasi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Rumah Ngaji Perak merancang untuk melaksanakan misi susulan ke Aceh melalui laluan Medan yang disifatkan lebih dekat bagi membolehkan bantuan disalurkan ke kawasan Langkahan dan Termiang yang teruk terjejas.

 

 

Ringkasan AI

  • Rumah Ngaji Perak mengatur misi bantuan kemanusiaan ke Banda Aceh untuk meringankan beban penduduk akibat banjir
  • Misi ini dipacu oleh keperluan mendesak al-Quran di kawasan terjejas dan kerjasama dengan NGO Al Attas Care
  • Sumbangan awal adalah kewangan untuk pembelian al-Quran, dan kemudiannya turut menyediakan telekung dan tudung
  • Sejumlah RM21,000 diperuntukkan untuk wakaf al-Quran, bantuan kewangan, dan barangan dapur
  • Sukarelawan menghadapi cabaran memasuki Daerah Langkahan disebabkan kerosakan infrastruktur akibat banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!