Isu khutbah Jumaat: Hasnul lapor polis libatkan Pas Gerik

IPOH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong membuat laporan polis terhadap Pas Kawasan Gerik selepas dipercayai membuat tuduhan tidak berasas berkait teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial mendapati, seorang pemimpin parti itu mendakwa bahawa khutbah di Perak telah dikuasai oleh kerajaan yang dikuasai DAP.
Menurutnya, tuduhan seumpama itu jelas bersifat fitnah dan hasutan yang berbahaya kerana menyasarkan jabatan yang berada di bawah naungan Sultan Perak.
"Kenyataan ini jelas bertujuan untuk menghasut rakyat, khususnya ahli Pas dengan mendakwa secara palsu bahawa teks khutbah di negeri ini dikuasai oleh parti DAP.
"Saya harap polis dapat menjalankan siasatan terhadap kes ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan kepada pemberita.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 6 petang pada Selasa.
Pada 2 Februari lepas, Hasnul Zulkarnain yang juga bekas Exco Kerajaan Perak membuat laporan polis susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah disediakan JAIPk.
Laporan polis itu dibuat setelah imam tersebut mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.
Sebelum itu, sebuah portal melaporkan seorang khatib di Parit Buntar membaca teks Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk pada 31 Januari lepas mendapat perhatian umum selepas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif'aat Razman mempersoalkan pemilihan tajuk khutbah itu yang menurutnya seakan-akan menyinggung Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga bapanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

