Data pelancongan domestik DOSM tidak realistik - Exco

GEORGE TOWN-Kerajaan Pulau Pinang menolak dakwaan bahawa negeri ini ketinggalan di belakang Perak dari segi jumlah pelancong domestik, seperti yang dilaporkan dalam Survei Pelancongan Domestik 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, angka dalam laporan tersebut tidak berasaskan rekod sebenar, sebaliknya hanya diperoleh melalui kaedah pensampelan.
Menurutnya, kaedah tersebut adalah terhad dan tidak mencerminkan situasi sebenar industri pelancongan di Pulau Pinang.
“Perlu difahami bahawa laporan ini adalah satu kajian berdasarkan pensampelan.
"Ia bukan rekod sebenar penginapan hotel, sebaliknya berdasarkan soal selidik dan maklum balas isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut mendedahkan bahawa berdasarkan statistik rasmi Tourism Malaysia, Pulau Pinang mencatat lebih 5.2 juta pelancong tempatan yang menginap di hotel pada tahun lalu, jauh melebihi jumlah yang dicatatkan oleh Perak.
"Data penginapan hotel lebih tepat menggambarkan kekuatan sebenar pelancongan di Pulau Pinang.
“Menurut statistik rasmi Tourism Malaysia bagi tahun 2024, Pulau Pinang telah menerima 5.23 juta pelancong tempatan yang menginap di hotel, manakala Perak pula hanya mencatatkan 4.18 juta pelancong tempatan di hotel,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan kesesuaian responden kajian oleh DOSM yang menurutnya bukan terdiri daripada pelancong sebenar, sebaliknya isi rumah yang ditanya tentang pengalaman mereka sepanjang setahun yang lalu.
“Apa yang dikutip adalah kenangan responden terhadap perjalanan dalam tempoh setahun. Ini menjadikan dapatan tersebut bersifat retrospektif dan subjektif.
"Jumlah Blok Penghitungan yang dipilih di Pulau Pinang hanya sebanyak 204 daripada keseluruhan 2,819 blok yang digunakan bagi kajian tersebut.
“Ini satu bilangan yang amat kecil. Saiz sampel yang kecil ini tidak mencerminkan gambaran sebenar prestasi sektor pelancongan negeri,” jelasnya.
Hon Wai turut membangkitkan isu takrifan pelancong dalam kajian tersebut, yang turut merangkumi pelawat sehari dan individu yang melakukan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman.
“Angka DOSM sangat berkemungkinan termasuk golongan ‘balik kampung’, contohnya semasa perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
"Dalam erti kata sebenar, golongan ini adalah perantau pulang ke pangkuan keluarga, bukan pelancong,” ujarnya.
Tambahnya, pelawat sehari yang mewakili hampir 67 peratus daripada jumlah pelawat domestik memberi sumbangan ekonomi yang terhad kerana tidak bermalam di hotel dan berbelanja secara minimum.
“Walaupun kehadiran mereka besar dari segi bilangan, kesan ekonomi langsung mereka amat terhad.
"Hasilnya, angka keseluruhan kelihatan tinggi di sesetengah negeri tetapi realiti pelancongan yang lebih berkualiti di negeri lain seperti Pulau Pinang mungkin tidak digambarkan,” katanya.
Ujarnya, data daripada laporan DOSM boleh dijadikan rujukan awal, namun tidak sesuai untuk dijadikan asas membuat perbandingan prestasi pelancongan antara negeri.
“Bagi negeri seperti Pulau Pinang yang sinonim dengan pelancongan berkualiti tinggi, pengalaman budaya dan acara seni bertaraf antarabangsa, sumbangan sektor ini tidak dapat diukur hanya melalui satu soal selidik isi rumah,” katanya.
Sebelum ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang mempersoalkan prestasi pelancongan domestik negeri yang jatuh merudum susulan pendedahan DOSM yang menunjukkan negeri ini hanya menerima 4.8 juta pelawat domestik sepanjang 2024, angka yang jauh di belakang beberapa negeri lain.
Pengerusi Muda Pulau Pinang, Andika Putera menyifatkan angka tersebut sebagai tamparan besar kepada negeri yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terkenal di seluruh negara sebagai pusat budaya, makanan dan warisan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

