Bazar Ramadan jadi produk pelancongan Pulau Pinang tahun depan

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan menjadikan bazar Ramadan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan negeri pada tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sambutan hangat terhadap bazar Ramadan setiap tahun membuktikan potensinya sebagai tarikan unik yang boleh diketengahkan bagi memperkasakan industri pelancongan negeri.
“Kita sudah mempunyai asas yang kukuh, jadi mengapa tidak kita manfaatkan dan menjadikannya daya tarikan pelancongan.

"Bazar Ramadan bukan hanya untuk penduduk tempatan malah boleh dipromosikan kepada pelancong luar," katanya pada sidang akhbar di Kampus Convent Pulau Tikus (CPT) di sini pada Isnin.
Sebelum itu, Kon Yeow merasmikan Boya Institute Pulau Pinang, Phoenix Asia Academy of Technology dan Metaverse Universal College di CPT.
Mengulas lanjut, dengan penjenamaan dan promosi yang lebih meluas, bazar Ramadan di negeri ini mampu menjadi tarikan utama seiring dengan agenda pelancongan Pulau Pinang yang sememangnya terkenal dengan keunikan budaya dan kepelbagaian makanan.
“Kita melihat bazar Ramadan sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan makanan di Pulau Pinang. Ini kerana, setiap kali Ramadan, bazar ini menawarkan pelbagai juadah tempatan yang sukar didapati pada hari biasa, termasuk hidangan tradisional yang menjadi warisan masyarakat kita.
“Dengan langkah strategik dan promosi yang menyeluruh, kita boleh menarik lebih ramai pelancong untuk merasai sendiri pengalaman membeli juadah di bazar Ramadan yang terkenal dengan kepelbagaian rasa dan keunikan tersendiri,” katanya.
Jelasnya lagi, konsep itu boleh diperluaskan dengan mewujudkan satu jenama khas yang menyatukan pelbagai lokasi bazar di bawah promosi seragam bagi membolehkan pelancong mengenal pasti lokasi yang menawarkan pengalaman terbaik.
“Tidak semestinya di satu lokasi sahaja, tetapi boleh diperluaskan ke seluruh negeri dengan memanfaatkan bazar sedia ada di setiap daerah.
"Kita mahu pastikan setiap kawasan mendapat manfaat dan memberi pulangan ekonomi kepada peniaga tempatan,” katanya.
Terdahulu, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Seri Haja Najmudeen Kader berkata, Bazar Ramadan Lebuh Queen yang dianjurkan sejak 22 tahun lalu kini dijenamakan semula sebagai Fiesta Ramadan atau Festival Makanan Ramadan.
Katanya, penjenamaan semula itu adalah kerana potensi acara itu dalam merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk lokal serta menarik minat ramai pelancong asing.
Sehubungan itu, Najmudeen mencadangkan kerajaan negeri mengambil langkah permulaan dengan memasukkan penganjuran Bazar Ramadan Lebuh Queen atau Fiesta Ramadan dalam kalendar acara pelancongan negeri pada tahun depan.
Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai syurga makanan dan bazar Ramadan diyakini mampu menambah daya tarikan negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan makanan selain merancakkan ekonomi usahawan kecil serta peniaga makanan sepanjang bulan Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

