Kenangan manis naik ETS, Duta Besar AS puji keindahan dan infrastruktur Malaysia

BUTTERWORTH - Pengalaman menaiki perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sambil menikmati keindahan landskap dan keramahan rakyat Malaysia meninggalkan kenangan mendalam kepada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgar D Kagan sepanjang tempoh perkhidmatannya di negara ini.
Menurutnya, kunjungan ke Pulau Pinang buat kali terakhir sebagai duta besar amat menyentuh perasaan kerana negeri itu mencerminkan Malaysia dalam skala yang lebih kecil, namun penuh keistimewaan.
“Meninggalkan Pulau Pinang terasa seperti meninggalkan Malaysia dalam skala yang lebih kecil.
“Saya benar-benar sedih kerana ini adalah kali terakhir saya datang ke sini sebagai Duta AS dan saya tahu saya akan sangat merindui Malaysia apabila meninggalkan negara ini pada minggu hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth di sini pada Sabtu.
Kagan turut menyifatkan lawatannya ke Pulau Pinang sebagai satu kunjungan yang bermakna dan penuh emosi, apatah lagi apabila ramai pihak meluangkan masa untuk bertemu dan mengucapkan selamat tinggal secara peribadi.
Mengulas pengalamannya menaiki ETS, Kagan berkata, beliau memilih pengangkutan rel kerana minat peribadi terhadap perjalanan menggunakan kereta api selain faktor keselesaan dan kurang tekanan berbanding perjalanan udara.
Katanya, perjalanan menggunakan ETS memberi peluang untuk menikmati pemandangan luar bandar Malaysia yang indah sepanjang perjalanan.
Beliau turut memuji sistem pengangkutan awam Malaysia khususnya ETS yang disifatkannya cekap, boleh dipercayai dan sesuai untuk pelancong.
“Saya memang suka menaiki tren. Perkhidmatan tren di Malaysia sebenarnya sangat baik. Ia tepat pada masanya, kelajuannya sesuai dan lebih mudah jika dibandingkan dengan semua proses di lapangan terbang.
“Sebab itu, saya rasa perjalanan dengan tren adalah pilihan yang bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Kagan menyifatkan Malaysia sebagai destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong Amerika Syarikat, apatah lagi menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tambahnya, sudah pasti mana-mana pelancong Amerika yang datang ke Malaysia akan menyukainya.
“Berdasarkan pengalaman rakan dan keluarga saya yang pernah berkunjung, semuanya jatuh cinta dengan negara ini.
“Keunikan Malaysia terletak pada kepelbagaian budaya, kaum dan agama, selain kekayaan makanan serta landskap semula jadi yang menakjubkan.
“Malaysia menawarkan segalanya, pantai yang indah, gunung untuk didaki, hutan untuk diterokai, hidupan liar yang luar biasa dan keindahan alam semula jadi yang pelbagai,” kongsinya lagi.
Mengulas destinasi kegemarannya, Kagan berkata, beliau amat menyukai Pulau Pinang selain Kuala Lumpur yang dinamik, serta beberapa negeri lain seperti Kelantan, Perak (Ipoh), Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Terlalu banyak tempat yang menakjubkan dan saya rasa saya baru meneroka sebahagian kecil sahaja.
“Jika saya mempunyai lebih banyak masa, saya pasti akan menemui lebih banyak tempat yang saya cintai,” katanya.
Kagan akan bersara sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia dan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 15 Februari depan.
Ringkasan AI
- Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgar D Kagan, memuji pengalaman menaiki ETS dan keindahan Malaysia
- Kagan merasa sedih meninggalkan Malaysia yang dibandingkannya seperti meninggalkan Pulau Pinang dalam skala yang lebih kecil
- Beliau menyatakan kekaguman pada sistem pengangkutan awam Malaysia, khususnya ETS, kerana kecekapan dan keselesaannya
- Menurutnya, Malaysia adalah destinasi wajib bagi pelancong Amerika kerana kepelbagaian budaya, makanan, dan keindahan alam semulajadi
- Kagan akan bersara dan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia pada 15 Februari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

