Projek Air Perak-Pulau Pinang hampir jadi kenyataan

Kunjungan hormat delegasi PKNP-Gamuda Berhad ke atas Kkerajaan Pulau Pinang pada Jumaat.
Kunjungan hormat delegasi PKNP-Gamuda Berhad ke atas Kkerajaan Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN – Projek bekalan air antara Perak dan Pulau Pinang yang telah lama dinantikan kini semakin hampir direalisasikan selepas satu kunjungan hormat oleh delegasi Konsortium Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)-Gamuda Berhad ke atas kerajaan Pulau Pinang pada Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam pertemuan tersebut, delegasi berkenaan memaklumkan bahawa mereka telah menerima mandat rasmi daripada kerajaan Perak untuk memulakan rundingan berhubung penjualan air terawat kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Kerajaan negeri mengalu-alukan perkembangan terbaharu ini dan rundingan rasmi akan dimulakan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) memuktamadkan pelantikan pasukan perunding rasmi negeri,” katanya di Facebook pada Jumaat.

Menurut beliau, kunjungan hormat itu merupakan satu perkembangan penting dalam usaha menjamin keperluan bekalan air jangka panjang Pulau Pinang.

Antara yang hadir dalam delegasi tersebut ialah Pengarah PKNP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Pengarah Eksekutif Kumpulan Gamuda Berhad, Datuk Azmi Mat Nor; Pengarah Gamuda Engineering Berhad, Datuk Szeto Wai Loong; Penasihat SRS Consortium Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Ooi Eng Hock dan Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering Berhad, Faris Yusof.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan yang memainkan peranan penting dalam merancang infrastruktur bekalan air negeri ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa projek bekalan air antara dua negeri itu sudah memasuki fasa akhir perancangan.

Menurut Anwar, kerajaan telah merangka strategi bagi meningkatkan kapasiti Sungai Perak serta membangunkan sistem saliran terus bagi menyalurkan air dari Bukit Merah ke Kerian.

Pada tahun lalu, beliau turut mengumumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta kerajaan Perak yang diketuai Datuk Seri Saarani Mohamad telah bersetuju untuk membekalkan air kepada Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Bekalan air itu kelak akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian sebelum disalurkan ke Seberang Perai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!