Sambutan Ulang Tahun TYT Pulau Pinang ditangguh, 12 Julai kekal cuti umum

GEORGE TOWN - Semua istiadat dan majlis-majlis rasmi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-84 Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib ditangguhkan sehingga hujung Julai ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang berkata, penangguhan sambutan itu dibuat susulan pertindihan dengan tarikh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-269.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata, istiadat dan majlis rasmi tersebut akan dilaksanakan bermula 26 hingga 30 Julai 2025.
Bagaimanapun, katanya, tarikh 12 Julai yang telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am sempena ulang tahun TYT akan kekal sebagai cuti umum di negeri ini.
“Sambutan rasmi ditangguhkan ke hujung bulan bagi memberi laluan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
"Namun cuti umum pada 12 Julai tetap dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sambutan ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang merupakan acara tahunan yang diraikan dengan pelbagai istiadat rasmi kerajaan negeri, termasuk majlis angkat sumpah darjah kebesaran dan jamuan kenegaraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

