Lantikan ketua kampung di Perak dibuat berhati-hati - MB

Saarani (depan, 10 dari kiri) bersama peserta yang hadir ke Majlis Simposium Orang Asli Negeri Perak 2025 Bersama YAB Menteri Besar di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Saarani (depan, 10 dari kiri) bersama peserta yang hadir ke Majlis Simposium Orang Asli Negeri Perak 2025 Bersama YAB Menteri Besar di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

 

IPOH – Kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati dalam melantik ketua kampung bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar layak dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini hanya seramai 658 ketua kampung telah diberikan watikah pelantikan daripada keseluruhan 828 buah kampung di negeri ini.

Menurutnya, antara kriteria utama yang ditetapkan ialah calon mestilah bermastautin di kampung yang bakal diterajui mereka.

“Pelantikan ketua kampung ini bukan semata-mata soal jawatan tetapi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat. Mereka merupakan pegawai kerajaan paling bawah dalam struktur pentadbiran jadi mereka mesti tinggal di kampung berkenaan.

“Kita tak boleh lantik orang dari kampung lain untuk jadi ketua kampung di tempat yang bukan penempatan asal mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Simposium Orang Asli Negeri Perak 2025 Bersama YAB Menteri Besar di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Zamri Mustajap.

Saarani turut memaklumkan sebanyak 170 kampung masih belum mempunyai ketua kampung dan pelantikan mereka akan dibuat pada fasa berikutnya dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

“Kelewatan ini berlaku kerana terdapat beberapa perubahan melibatkan faktor usia dan cadangan baharu daripada parti-parti kerajaan sebagai contoh Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru selesai pemilihan dan ada perubahan pemegang jawatan di peringkat cabang dan ranting.

“Semua ketua kampung sebelum ini telah tamat perkhidmatan pada 30 Mei lalu, manakala pelantikan baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, ramai muka baharu termasuk dalam kalangan golongan belia telah dilantik sebagai ketua kampung dalam pelantikan fasa pertama ini.

“Sebagai contoh, di Lenggong kita lantik ketua kampung berusia 31, 32 dan 33 tahun. Ini menunjukkan wujudnya kolaborasi antara muka lama dan baharu yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada pentadbiran kampung.

“Wanita pun ada dilantik walaupun bilangannya tidak ramai,” katanya.

Mengulas mengenai pengagihan pelantikan mengikut parti, Saarani menegaskan, tiada kuota ditetapkan kepada mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.

“Kita cuma pastikan calon yang dilantik itu adalah daripada parti kerajaan seperti Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) atau DAP.

“Kita tidak menetapkan peratusan kuota kerana keutamaan adalah kepada keupayaan seseorang itu untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada penduduk kampung,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!