Tauliah: Kuasa kerajaan negeri harus dihormati – Exco Agama

Mohammad Fahmi
Mohammad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM – Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan bahawa kuasa mutlak serta peraturan kerajaan negeri dalam pengurusan hal ehwal agama Islam wajib dihormati oleh semua pihak.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, yang memberi gambaran seolah-olah tauliah mengajar agama di negeri ini boleh digunakan sebagai alat tekanan politik dan ditarik sesuka hati sekiranya pendakwah tidak sehaluan dengan pendirian pihak berkuasa.

“Kuasa mutlak dan peraturan kerajaan negeri dalam pengurusan hal ehwal agama harus dihormati oleh semua, termasuk orang awam, para pendakwah dan ahli politik,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan tersebut pada Jumaat.

Sebelum ini, Dr Mohammad Fahmi dilaporkan berkata bahawa pihaknya menerima pelbagai aduan terhadap pemegang tauliah yang didakwa menyalahgunakan ruang dakwah di masjid dan surau untuk menyampaikan mesej politik atau yang boleh mencetuskan kebencian serta perpecahan dalam masyarakat.

Susulan itu, kerajaan negeri mengingatkan semua pemegang tauliah mengajar agama supaya mematuhi syarat yang ditetapkan atau berdepan risiko tauliah digantung dan ditarik balik.

Peringatan itu dikeluarkan selaras dengan Peraturan-peraturan Tauliah bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024, yang antara lain melarang pemegang tauliah memegang sebarang jawatan dalam parti politik atau menjadi anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor dalam kenyataannya semalam membidas kenyataan Exco tersebut dengan menyifatkannya sebagai mengelirukan dan boleh membunuh semangat dakwah, selain memberi gambaran bahawa tauliah merupakan hak eksklusif yang boleh ditarik sesuka hati oleh pihak berkuasa.

Menurut Mohamed Sukri, teguran terhadap pemerintah dalam perkara hukum hakam agama bukanlah satu jenayah atau satu bentuk kebencian, sebaliknya Ia adalah tanggungjawab agama.

Jelas beliau, Islam meletakkan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ke atas bahu setiap pendakwah, termasuk dalam menegur pemerintah apabila berlaku pelanggaran terhadap hukum syarak, pengabaian terhadap fatwa atau ketidaktegasan dalam memelihara institusi Islam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!