Pembatalan sebahagian undang-undang perhimpunan aman perkasakan hak berhimpun - Pejuang

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan kewajipan notis lima hari bagi perhimpunan aman sebagai tidak berperlembagaan disifatkan langkah memperkasakan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, keputusan itu juga memberi isyarat jelas bahawa hak kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) dan (2)(b) Perlembagaan Persekutuan terus dipertahankan.
"Pejuang sebagai sebuah parti yang berpaksikan hak-hak kebebasan sepertimana Perlembagaan Persekutuan menerima baik keputusan tersebut kerana ia telah menyelesaikan kemelut yang selama ini timbul akibat dua keputusan Mahkamah Rayuan yang berselisih pendapat sebelum ini.
"Mahkamah dan hakim-hakim merupakan benteng rakyat daripada penyalahgunaan kuasa eksekutif," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tambah Muhammad Rafique Rashid, keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu turut menjadikan kedaulatan undang-undang dan ketertinggian perlembagaan terus menjadi tumpuan.
Sehubungan itu katanya, Pejuang merakamkan penghargaan kepada Tengku Maimun atas jasa beliau yang mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan perundangan negara.
Muhammad Rafique Rashid turut menyeru rakyat agar terus mempertahankan sistem kehakiman dan keluhuran perlembagaan negara bagi memastikan prinsip asas keadilan dan perundangan tidak dicabul oleh mana-mana pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

