Keputusan notis perhimpunan aman kemenangan buat rakyat Malaysia - Bersih

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan disifatkan satu kemenangan penting bagi rakyat Malaysia.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, keputusan itu juga satu pengiktirafan bahawa undang-undang tersebut tidak seharusnya digunakan untuk mengekang suara rakyat atau menghukum mereka yang ingin menyatakan pendirian secara aman di ruang awam.
"Kes itu berpunca daripada cabaran undang-undang oleh aktivis Amir Abdul Hadi yang telah didakwa di bawah Seksyen 9(5) kerana didakwa gagal memberikan notis kepada pihak berkuasa sebelum menganjurkan protes terhadap isu kapal tempur pesisir (LCS) di hadapan Kompleks Sogo pada tahun 2022.
"Tahniah kami ucapkan kepada saudara Amir dan pasukan guamannya atas keberanian dan kecekalan mereka dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia," katanya dalam dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan penting itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Bersih menegaskan bahawa kemenangan tersebut tidak seharusnya berakhir di mahkamah sahaja, sebaliknya mesti menjadi pemangkin kepada reformasi menyeluruh terhadap Akta Perhimpunan Aman.
"Undang-undang itu perlu dikaji semula dan dipinda agar ia benar-benar mencerminkan semangat Perlembagaan serta memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa," ujarnya.
Tambah Bersih, lebih mustahak, proses pindaan tersebut mesti dilakukan dengan penglibatan menyeluruh dan bermakna daripada pemegang taruh seperti masyarakat sivil, pengamal undang-undang dan pihak berkepentingan lain.
Menurutnya, penglibatan itu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa pada saat akhir atau sekadar sebagai satu ritual ‘tanda semak’ yang tidak membawa sebarang makna substantif.
"Bersih berpandangan suara rakyat mesti didengar dan dihormati sejak awal proses perundangan dan bukan selepas segalanya telah diputuskan.
"Sering kali, keputusan rakyat untuk turun berhimpun disambut dengan gesaan supaya mereka menggunakan saluran betul," ujarnya.
Menurut Bersih, perhimpunan aman bukan langkah terakhir ataupun ancaman, sebaliknya ekspresi langsung suara rakyat yang harus dihormati dan dilindungi dan bukannya disekat atau dipersoalkan kesahihannya.
Justeru, Bersih menyeru Kerajaan Madani untuk membuktikan komitmen terhadap janji reformasi dengan memastikan bahawa pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman dilakukan secara telus, inklusif dan selari dengan semangat keputusan Mahkamah Persekutuan.
Ini kerana katanya, sebahagian daripada mereka yang kini berada di tampuk kuasa juga pernah merasai sendiri keperitan disekat daripada berhimpun dan ditekan kerana bersuara.
"Kepada rakyat Malaysia pula, jangan tunduk, jangan bisu, jangan takut! Suara anda adalah senjata paling ampuh dalam menuntut perubahan.
"Setiap perubahan besar bermula dengan keberanian orang biasa yang enggan berdiam diri," kata kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

