'Kami ingatkan penumpang pakai tali pinggang keledar sebelum bergerak' - Pemandu bas

Roslee dan isterinya, Eshah Long, 60, memakai tali pinggang sebelum bas dinaiki mereka memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Parit Buntar pada Selasa. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Roslee dan isterinya, Eshah Long, 60, memakai tali pinggang sebelum bas dinaiki mereka memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Parit Buntar pada Selasa. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran yang bermula pada Selasa, menyaksikan tahap pematuhan yang positif di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pemandu bas mengambil inisiatif memberi peringatan kepada penumpang supaya memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.

Seorang pemandu bas ekspres, Muhammad Fandi Mat Isa, 45, berkata, pihak syarikat telah mengarahkan semua pemandu dan pembantu pemandu supaya sentiasa mengingatkan penumpang mengenai kepentingan keselamatan.

“Kami sudah dimaklumkan bahawa jika penumpang enggan mematuhi arahan, syarikat tidak akan bertanggungjawab sekiranya mereka dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa termasuk JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya ketika ditemui di TBS pada Selasa.

Bagi penumpang bas, Hamizan Azmi, 29, beliau menyifatkan langkah kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan penumpang bas ekspres dan persiaran perlu bagi meningkatkan keselamatan penumpang.

“Saya setuju pemakaian tali pinggang keledar ini diwajibkan kepada penumpang bas ekspres untuk ke mana-mana destinasi di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Terminal 17, Shah Alam turut mendapati pegawai JPJ Selangor menjalankan pemantauan terhadap pematuhan arahan tersebut.

Pegawai JPJ dilihat melakukan pemeriksaan secara rawak ke atas beberapa bas ekspres termasuk meminta penumpang menunjukkan tali pinggang keledar yang telah dipasang.

Seorang lagi pemandu bas ekspres, Mohd Azwan Affendi Zakaria, 44, berkata, pihak pengurusan syarikat bas sememangnya sentiasa mengingatkan penumpang agar memakai tali pinggang keledar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azwan memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Mohd Azwan memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

“Syarikat kami memang sentiasa menitikberatkan soal keselamatan penumpang sehingga tiba ke destinasi yang dituju,” katanya.

Seorang lagi penumpang warga emas, Roslee Khayim, 64, berkata, penguatkuasaan ini sepatutnya dilaksanakan sejak awal lagi bagi mengelakkan kemudaratan kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

Roslee berkata, kejadian kemalangan membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum ini harus dijadikan teladan agar tidak berulang.

“Banyak lagi tahap kemudahan keselamatan bas perlu dinaik taraf agar keselamatan penumpang benar-benar terjamin,” ujarnya.

Terkini, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa pada Selasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata, penguatkuasaan tersebut terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.

Tegasnya, pemandu perlu memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!