Setinggi mana teknologi, tak guna kalau sikap kita masih tak berubah

MULAI hari ini, bukan sahaja pemandu, malah penumpang bas ekspres dan persiaran sudah mula diwajibkan memakai tali pinggang keledar.
Arahan itu melibatkan bas yang dibina selepas tahun 2020 dan bas sebelumnya akan diberikan tempoh berperingkat untuk pemasangannya.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu bas yang tidak mengumumkan arahan tersebut kepada penumpang.
Selain tali pinggang keledar, bas juga perlu dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dijadikan bukti sama ada pemandu sudah memberi ingatan atau tidak kepada penumpang.
Merak Jalanan secara peribadi setuju dengan langkah proaktif JPJ itu kerana isu pengangkutan awam amatlah penting.
Ia melibatkan nyawa orang ramai, lebih-lebih lagi selepas tragedi ngeri di Gerik melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dengan memakai tali pinggang keledar penumpang, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kecederaan apabila bas terlibat kemalangan.
Benar, kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi dengan pendekatan berjaga-jaga dan penguatkuasaan tegas diyakini dapat memastikan insiden seperti di Gerik tidak berulang.
Mungkin kita hanya nampak sebuah bas di jalan raya, tetapi di dalamnya terdapat 30 hingga 40 nyawa berharga.
Cuma, ada rakan Merak Jalanan memberi pandangan, buat apa susah-susah nak suruh pemandu buat pengumuman supaya penumpang memakai tali pinggang keledar.
Bukankah boleh sahaja letakkan sistem pengumuman automatik di dalam bas.
Katanya, sekarang zaman digital, bukan lagi analog. Kecerdasan buatan (AI) pun sudah boleh buat skrip lebih sedap daripada deejay radio.
Tapi bagi Merak Jalanan, walau setinggi mana teknologi pun, kalau sikap kita masih tidak berubah, masih mengabaikan keselamatan, tak guna juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
