Wajib tali pinggang keledar: Titik mula budaya keselamatan dalam bas

MULAI Selasa ini, semua bas ekspres dan bas persiaran diwajibkan untuk memasang serta memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
Langkah ini diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai satu usaha serius untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan serius melibatkan pengangkutan awam, khususnya bas yang kerap digunakan oleh masyarakat bagi perjalanan jarak jauh.
Malaysia telah lama menyaksikan insiden kemalangan bas yang meragut nyawa, puncanya sering dikaitkan dengan kelalaian, kepenatan pemandu, keadaan kenderaan dan tidak kurang juga kegagalan penumpang menggunakan tali pinggang keledar.
Dalam kebanyakan insiden, mangsa tercampak keluar atau tercedera teruk kerana tiada sebarang sistem sekatan fizikal seperti tali pinggang yang boleh mengurangkan impak hentaman.
Walaupun langkah ini dilihat agak lewat jika dibandingkan dengan negara maju, namun ia boleh dijadikan sebagai satu titik tolak ke arah budaya mengutamakan keselamatan yang lebih menyeluruh.
Kebaikan utama yang dapat dilihat daripada arahan ini ialah pengurangan risiko kematian dan kecederaan apabila kemalangan berlaku.
Statistik global menunjukkan penggunaan tali pinggang keledar boleh menyelamatkan nyawa dengan mengurangkan impak kepada tubuh ketika rempuhan berlaku.
Di samping itu, langkah ini dapat meningkatkan kesedaran umum tentang pentingnya perlindungan diri dalam apa jua kenderaan, tidak kira di hadapan atau belakang, di jalan bandar mahupun lebuh raya.
Bukan itu sahaja, kewajipan tali pinggang keledar dalam bas juga memberi kesan kepada industri.
Pengusaha bas kini perlu memastikan setiap kenderaan beroperasi memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.
Ini secara tidak langsung memaksa peningkatan standard penyelenggaraan dan pelaburan semula ke dalam aspek keselamatan yang sebelum ini mungkin tidak diberi keutamaan.
Dalam jangka masa panjang, langkah ini boleh membina semula keyakinan orang ramai terhadap pengangkutan awam sebagai pilihan yang selamat, cekap dan bertanggungjawab.
Namun, keberkesanan pelaksanaan peraturan ini akan banyak bergantung kepada penguatkuasaan dan sikap penumpang sendiri.
Maka, selain penguatkuasaan, pendekatan pendidikan awam dan penerangan menyeluruh amat penting.
Penumpang perlu difahamkan bahawa langkah ini bukan semata-mata peraturan kerajaan, tetapi satu bentuk perlindungan diri yang sepatutnya menjadi kebiasaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

