Hajiji tegas tiada campur tangan kerajaan negeri dalam kes rasuah dua ADUN

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang melibatkan mana-mana pemimpin kerajaan yang terpalit dengan isu rasuah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berhubung dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah pada Isnin.
"Kita menghormati undang-undang, dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya.
"Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, yang didakwa atas pertuduhan rasuah.
Bercakap mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan semasa, beliau akan meneliti perkara itu dengan sebaiknya selepas menerima semua maklumat dan laporan yang berkaitan.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
Untuk rekod, Andi Muhammad Suryadyyang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, manakala Dr Yusof pula, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad.
Kedua-duanya dituduh menerima wang daripada Datuk Tei Jiann Cheing atau dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan lesen mencari gali mineral.
Dalam kes ini, Albert turut didakwa di mahkamah sama atas kesalahan memberi rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
