Sinar hidup anak yatim piatu OKU

KOTA BHARU – Kemalangan tragis lima tahun lalu yang meragut empat sekeluarga telah meninggalkan kesan mendalam kepada satu-satunya anak yang terselamat dalam tragedi itu apabila bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas hilang upaya berjalan.
Muhammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 8, yang berusia tiga tahun ketika kejadian telah mengalami kecederaan parah dan kini hanya mampu mengesot atau menggunakan kerusi roda. Dia sekarang dijaga oleh bapa saudara, Mohamad Faris Ezuwan Bakhari, 23, bersama neneknya, Che Senah Che Awang, 67.

“Sejak arwah abang dan kakak ipar meninggal, saya yang jaga. Masa dia (Fariz Iskandar) sedar di hospital, saya orang pertama yang dia tengok. Sudah macam ganti ayah dia, nama kami pun sama Fariz.
“Dia tak boleh berjalan, makan nasi pun tak nak, hanya makan kentang goreng, kerepek, keropok dan perlu guna lampin pakai buang setiap hari,” kata Fariz Ezuwan.

Dalam kejadian 13 Februari 2020, kereta dinaiki lima sekeluarga bertembung dengan sebuah treler sarat muatan yang terbabas ke laluan bertentangan di Jalan Ipoh–Kuala Kangsar dekat Sungai Siput, Perak.
Nahas itu mengorbankan pasangan suami isteri, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari, 28, dan Nik Idayu Nik Hasan, 30, selain seorang anak mereka, Mohammad Faqih Irshad, 16 bulan serta adik kepada Nik Idayu iaitu Nik Ifieka, 28.
Lebih menyayat hati, Nik Iedayu sedang mengandung dua minggu manakala Fariz Iskandar terlantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selama 28 hari.

Nasib kanak-kanak tersebut mendapat pembelaan apabila PERKESO menyalurkan bantuan bulanan menerusi pencen penakat sejak 2023. Fariz Iskandar menerima RM532 bagi caruman arwah ibu sebagai pekerja kilang Rohm Wako manakala RM445 daripada arwah bapa yang pernah bekerja di kilang sama sebelum menyertai PDRM.
Bantuan berkenaan diberikan sehingga Fariz Iskandar berusia 21 tahun atau memperoleh ijazah pertama atau seumur hidup jika dia tidak upaya untuk mengurus diri sendiri.

Menurut Fariz Izwan, pencen tersebut sangat membantu untuk membeli keperluan termasuk lampin pakai buang, makanan dan kos penjagaan khas anak saudaranya itu.
“Sebelum dapat pencen penakat ini, kami guna duit simpanan arwah dan sumbangan orang ramai. Tapi lama-lama habis juga. Sekarang, pencen inilah yang banyak tampung hidup dia,” jelasnya.
‘Saya mungkin kena buat dua kerja sara 7 anak’
Bagi Wahidatul Habibah Mohd Daud, 43, bukanlah satu tugas mudah bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk membesarkan tujuh anak berusia 5 hingga 21 tahun tanpa sumber kewangan kukuh selepas kematian suami.
“Dulu saya ada buka gerai dengan arwah suami tapi terpaksa tutup selepas dia meninggal dunia. Sekarang saya menjual hidangan seperti nasi arab dan laksa thai serta ambil tempahan mini katering.
“Kalau tak ada bantuan pencen penakat daripada PERKESO, saya mungkin terpaksa buat dua kerja untuk tampung belanja kami lapan beranak,” katanya.
Menurut Wahidatul Habibah, beberapa hari selepas suaminya, Shahrulnizom Salleh, 47, meninggal dunia pada 19 Januari 2024 akibat terjatuh di dalam bilik, seorang rakan telah merujuk kes arwah suami kepada PERKESO.
“Saya langsung tidak tahu mengenai pencen penakat. Rupanya arwah pencarum PERKESO sebab pernah bekerja dengan dua syarikat swasta sebelum kami berniaga.
“Dengan wang RM1,300 sebulan ini, dapatlah saya bahagikan perbelanjaan untuk pendidikan anak, sewa rumah dan bil utiliti. Hasil berniaga boleh guna untuk belanja harian,” ujarnya yang kini mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah secara sukarela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

