'Lori lalu tak kira masa, kesesakan makin meningkat'

ISKANDAR PUTERI - Pergerakan lori muatan berat dan treler tanpa had masa menyebabkan kesesakan trafik meningkat di laluan Jalan Gelang Patah menghala Pendas terutama pada waktu puncak.
Seorang peniaga kedai runcit, Gan Yen Chai, 69, berkata, jumlah kenderaan berat yang menggunakan laluan tersebut turut mengancam keselamatan pengguna lain.
“Lori lalu tak kira masa memang boleh jadi sesak, lebih-lebih lagi bila orang ramai balik kerja.
"Biasanya jam 5 petang dah mula sesak. Saya harap perjalanan lori boleh dijadualkan semula pada waktu kurang sibuk,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, menurut penduduk Kampung Muafakat Baru, Shahrul Syafiq Syahrul Izam, 28, laluan tersebut kerap dijadikan jalan pintas oleh kenderaan berat ke kilang dan tapak pembinaan kawasan perumahan.
Ujarnya, langkah mengehadkan waktu tertentu boleh dilaksanakan segera supaya trafik lebih lancar sebelum keadaan menjadi sukar dikawal.
"Kalau boleh, biarlah ada masa tertentu lori dibenarkan lalu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hussin Moson Ali, 28, berkata, pernah berlaku kemalangan di laluan berkenaan melibatkan lori dan kereta.
“Kena ada kawalan waktu untuk melancarkan trafik, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pergerakan lori muatan berat dan treler tanpa had masa menyebabkan kesesakan di Jalan Gelang Patah menghala Pendas pada waktu puncak
- Jumlah kenderaan berat mengancam keselamatan pengguna lain
- Gan Yen Chai mencadangkan penjadualan semula perjalanan lori pada waktu kurang sibuk
- Shahrul Syafiq menyatakan laluan tersebut kerap digunakan sebagai jalan pintas oleh kenderaan berat
- Hussin Moson Ali menyebut perlu ada kawalan waktu untuk mengurangkan risiko kemalangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

