Laluan kampung jadi jalan pintas

Kereta yang perlu berhenti kerana berselisih dengan lori di laluan sempit.
Kereta yang perlu berhenti kerana berselisih dengan lori di laluan sempit.
A
A
A

KOTA BHARU – “Tak boleh buka pintu rumah. Habuk masuk dan bunyi bising ganggu penduduk tak kira masa berpunca daripada lori-lori besar.”

Demikian luah seorang penduduk, Saridah Abdul Latif, 54, mengenai kehadiran lori muatan berat yang menggunakan laluan sempadan dua daerah antara Kampung Sri Kulim, Melor dan Bukit Mak Lipah, Mahligai, Bachok tanpa had masa tertentu.

Menurut suri rumah itu, penduduk telah lama berdepan masalah tersebut sejak aktiviti pengambilan tanah dijalankan kira-kira tiga tahun lalu dan semakin serius sejak tahun lalu apabila bilangan lori meningkat.

Kereta penduduk yang dipenuhi debu tanah daripada muatan lori.
Kereta penduduk yang dipenuhi debu tanah daripada muatan lori.

“Pagi penuh lori, tengah hari pun ada dan petang waktu orang balik kerja pun masih banyak.

“Masa saya ambil anak balik sekolah sekitar jam 1.15 tengah hari, lori masih lalu jalan ini,” katanya.

Menurut Saridah, setiap lori dianggarkan membawa muatan antara tiga hingga 10 tan dan ada yang membuat lima hingga enam perjalanan sehari.

Tambahnya, penduduk turut terkesan dengan pencemaran habuk, bunyi bising dan keadaan jalan kampung sepanjang dua kilometer yang semakin rosak kerana dijadikan jalan pintas.

Artikel Berkaitan:

“Malah, pernah berlaku kemalangan antara lori dan kereta penduduk, mujur tiada nyawa terkorban,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati, sekurang-kurangnya 27 lori menggunakan jalan kampung satu lorong itu termasuk ketika waktu pelajar pulang sekolah sekitar jam 1 tengah hari.

Penduduk mendakwa, pergerakan lori bermula seawal 8.30 pagi dan berterusan sehingga 5 petang, malah adakala sehingga 7 malam tanpa had masa khusus.

Palang besi had ketinggian yang dipasang di laluan masuk juga hanya bertahan beberapa bulan sebelum dirempuh kenderaan berat berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Nor Shafizal Amri, 20, berkata, jalan kampung yang sempit itu hanya sesuai untuk laluan kereta dan motosikal.

“Bila ada sekatan jalan raya di jalan utama, lebih banyak lori akan melalui laluan kampung ini,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Penduduk kampung terganggu dengan masalah habuk dan bunyi bising akibat lalu lintas lori muatan berat tanpa had masa
  • Aktiviti pengambilan tanah yang berlangsung sejak tiga tahun lalu dan peningkatan bilangan lori sejak tahun lalu menyebabkan masalah bertambah serius
  • Lori-lori berat membawa muatan antara tiga hingga 10 tan dan melakukan lima hingga enam perjalanan sehari
  • Pencemaran habuk, bunyi bising dan kerosakan jalan kampung akibat lori menggunakan jalan sebagai pintas
  • Kemalangan antara lori dan kereta penduduk pernah berlaku tetapi tiada nyawa terkorban

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!