Bapa lima anak buntu fikir nasib keluarga selepas terlibat kemalangan

Noor Faizal bergantung harap kepada isteri, Hanizah untuk melaksanakan urusan harian.
Noor Faizal bergantung harap kepada isteri, Hanizah untuk melaksanakan urusan harian.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja penyelenggaraan buntu memikirkan nasib keluarga setelah dia terlibat kemalangan semasa pulang dari tempat kerja, lebih sebulan lalu.

Noor Faizal Morudin@ Md Isa, 51, dari Taman Ria Jaya di sini berkata, kemalangan yang berlaku pada 20 Mei lalu menyebabkannya lumpuh seketika kerana tidak mampu keluar bekerja sekali gus hilang punca pendapatan.

Menurutnya, segala urusan harian terpaksa bergantung harap kepada bantuan isteri, Hanizah Dhali, 51, termasuk menemani sepanjang mendapatkan rawatan.

"Saya tiada sumber pendapatan lain dan sekarang ini, duit simpanan juga habis kerana sering berulang-alik untuk mencuci luka," jelasnya.

Noor Faizal kini bergantung harap pada keluarga untuk menguruskan diri termasuk menemani ke klinik dan hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Noor Faizal kini bergantung harap pada keluarga untuk menguruskan diri termasuk menemani ke klinik dan hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Menceritakan semula kejadian, bapa kepada lima anak ini berkata, semasa pulang dari tempat kerja dalam keadaan hujan renyai, motosikal yang ditunggang terbabas sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan dekat Gurun.

"Mungkin jalan licin, saya terbabas sendiri dan ketika itu kaki terseret terkena penghadang jalan menyebabkan tulang lutut sebelah kanan retak manakala tulang betis pula dipercayai patah," katanya.

Akibat kejadian, punca pendapatan keluarga terganggu di mana isteri tidak bekerja manakala anak bongsu berusia 11 tahun masih bersekolah dan anak-anak lain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, saya runsing memikirkan sewa rumah, perbelanjaan utiliti bekalan elektrik dan air, kos perbelanjaan serta lain-lain kerana dikhabarkan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun untuk pulih.

"Saya khuatir bagaimana ingin meneruskan hidup sedangkan selama ini pendapatan saya sepenuhnya menyumbang kepada perbelanjaan rumah tangga,"katanya.

Dia juga bimbang kerana kos tinggi diperlukan untuk menempah Grab sebagai pengangkutan untuk mencuci luka di klinik kerajaan berdekatan, setiap dua hari sekali.

Katanya, urusan permohonan bantuan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah selain tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan diuruskan selepas ini apabila kesemua dokumen diperlukan telah lengkap.

Oleh itu, Noor Faizal merayu orang ramai menyalurkan bantuan melalui akaun CIMB Bank atas namanya bernombor 7610-1651-11.

Dia bagaimanapun berterima kasih atas keprihatinan pemimpin tempatan hadir memberikan sumbangan dan pinjaman alat perubatan seperti kerusi roda dan katil boleh laras yang telah meringankan beban ditanggung.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!