'Tujuh tahun tunggu zuriat, Hud Aryan satu-satunya anak mereka'

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 2, yang dikhuatiri hilang sejak maghrib pada Isnin merupakan satu-satunya anak tunggal selepas tujuh tahun pasangan Azean Nur Atikah, 34, dan suami, Mohd Hafifi Saidi, 34, menantikan zuriat.
Menurut Azean Irdawaty Ramley, 44, kakak kepada ibu Hud Aryan, adiknya itu juga pernah mengalami keguguran sebanyak lima kali sebelum berjaya melahirkan anak lelakinya itu.
"Kami sekeluarga tidak putus-putus berdoa agar Hud Aryan cepat ditemui selain mengadakan solat sunat hajat.
"Kami berharap orang ramai dapat sama-sama berdoa supaya Hud Aryan berjaya ditemukan dengan selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sinar Harian melaporkan kanak-kanak lelaki tersebut dipercayai masih selamat dan berada di belakang rumah neneknya di Kampung Aira Kuala Tiga di sini.
Azean Irdawaty berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh beberapa orang ustaz yang datang ke rumah untuk membantu operasi mencari kanak-kanak berkenaan.
"Kesemua ustaz memberitahu perkara yang sama iaitu Hud Aryah selamat dan berada di belakang rumah ibu kami.
"Kawasan kediaman kami terletak berhampian hutan tebal serta kebun getah," katanya.
Mengimbas semula kejadian itu, dia memberitahu ia berlaku kira-kira jam 7 malam dimana suasana ketika itu hujan renyai-renyai.
Dia memberitahu, Azean Nur Atikah baharu selesai menyuapkan makanan kepada Hud Aryan dan bangun ke dapur untuk mencuci tangan serta pinggan.
"Semasa kejadian itu ibu saudara kami ada datang ke rumah dan dikatakan dia terlupa untuk menutup pintu hadapan. Tidak sampai 10 minit adik memberitahu ibu saudara ada bertanyakan tentang Hud Aryan selepas tidak melihat kelibatnya.
"Dari situlah keluarga kami sedar Hud Aryan hilang dan sehingga sekarang masih gagal ditemukan. Kami berharap orang ramai dapat sama-sama berdoa supaya Hud Aryan berjaya ditemukan dengan selamat," katanya.
Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini pada Isnin.
Difahamkan semasa kejadian, Hud Aryan berada di rumah neneknya yang terletak kira-kira 90 meter dari anak sungai sebelum disedari hilang oleh ahli keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

