20 lori bersilih ganti dalam 10 minit

IPOH - Kehadiran kenderaan berat di laluan sibuk Jalan Kuala Kangsar di sini menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan menimbulkan keresahan ibu bapa kerana lokasinya berhampiran kawasan sekolah.
Tinjauan Sinar Harian di laluan berkenaan sekitar jam 5 petang mendapati, hampir 20 kenderaan berat melalui kawasan itu bersilih ganti dalam tempoh 10 minit, sekali gus turut menjejaskan aliran trafik.
Seorang ibu kepada dua anak, Zahratulhayat Mat Arif, 37, berkata, pemandu lori muatan berat dilihat tidak menghiraukan peningkatan jumlah kenderaan ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak di sekolah.
“Sebagai ibu bapa, kami sangat risau. Bayangkan anak turun van, tiba-tiba ada lori besar lalu dekat situ, memang bahaya.
“Terdapat juga kenderaan berat dipandu laju walaupun terdapat papan tanda had laju,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit di laluan berkenaan, Lim Wei Kang, 54, berkata, kesesakan akibat kehadiran kenderaan berat turut menjejaskan perniagaannya.
“Waktu petang memang sesak teruk. Lori muatan berat bergerak perlahan menyebabkan kenderaan lain tersekat. Pelanggan susah nak berhenti, ada yang terus tak jadi singgah.
“Bukan kata lori tak boleh langsung tapi mungkin boleh hadkan waktu. Pada waktu puncak, biar mereka guna laluan lain supaya trafik lebih lancar dan selamat,” ujarnya.
Keluhan sama disuarakan penunggang motosikal, Suresh Kumar, 32, yang menggunakan laluan Jalan Kuala Kangsar setiap hari untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih berbahaya apabila kenderaan berat membawa muatan seperti tanah dan batu.
“Penunggang motosikal paling berisiko. Bila lori besar lalu rapat, angin kuat, pandangan pun terhalang. Kalau brek mengejut, memang boleh mengundang kemalangan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kehadiran kenderaan berat di Jalan Kuala Kangsar menyumbang kepada kesesakan lalu lintas
- Kenderaan berat dilihat tidak menghiraukan peningkatan jumlah kenderaan ketika waktu menghantar dan mengambil anak di sekolah
- Kesesakan akibat kehadiran kenderaan berat menjejaskan perniagaan peniaga kedai runcit
- Penunggang motosikal berisiko tinggi mengalami kemalangan kerana keadaan berbahaya disebabkan oleh kenderaan berat
- Cadangan untuk menghadkan waktu laluan kenderaan berat semasa waktu puncak bagi memperlancar trafik dan meningkatkan keselamatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

