Bekas Pengarah JANS dakwa RM20 juta di pejabat milik orang lain

KOTA KINABALU - Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memberitahu mahkamah bahawa wang jutaan ringgit yang ditemui di pejabatnya semasa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016 adalah milik orang lain.
Tertuduh, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, berkata, hanya wang RM3 juta miliknya manakala selebihnya memang sudah berada di pejabat itu sejak beliau mula bertugas.
"Sebahagian besar wang di ‘'pantri’ itu bukanlah milik saya.
"Wang itu memang sudah ada di situ semasa saya mula masuk ke pejabat tersebut. Tapi selepas itu, dari semasa ke semasa saya ada simpan duit saya sendiri sebab adik saya kadang-kadang datang untuk meminta sumbangan politik. Adik saya adalah Bendahari UMNO.
“Saya anggarkan sekitar RM20 juta memang sudah ada di ‘pantry’ itu, selebihnya adalah lebih kurang RM3 juta adalah milik saya sendiri," katanya.
Ag Mohd Tahir berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat semasa perbicaraan pembelaan bersambung yang bersambung di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tanda 'Go Away' pada pintu yang terletak di sebelah tingkap di dinding bahagian belakang meja di pejabatnya itu memang sudah berada di tempat berkenaan.
"Sejak saya masuk di bilik pejabat pengarah, tanda itu memang memang sudah sedia ada," jelasnya.
Sebelum ini, dilaporkan sejumlah besar wang ditemui di dalam sebuah bilik yang mempunyai tanda tersebut pada pintu di pejabat bekas pengarah JANS.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau merupakan satu-satunya individu yang memegang kunci kepada bilik ‘pantry’ tersebut.
Ag Mohd Tahir turut mengesahkan bahawa terdapat barangan milik orang lain di dalam bilik berkenaan dan menjelaskan bahawa antara yang dimaksudkan ialah sejumlah wang tunai dalam jumlah besar.
Ketika ditanya sama ada beliau berada di pejabatnya semasa proses penggeledahan dilakukan, beliau memberitahu mahkamah bahawa dirinya hanya duduk di situ tetapi tidak menyaksikan proses berkenaan secara langsung.
Menjawab soalan lain, beliau berkata tidak mengetahui bahawa isterinya, Fauziah Piut, 60, mempunyai 19 akaun bank serta jumlah wang dalam akaun-akaun berkenaan mencecah RM2.2 juta.
Beliau turut tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa SPRM menemui kira-kira 900 barangan kemas sebagai sebahagian daripada rampasan, selain wang tunai berjuta ringgit.
Ag Mohd Tahir juga menyatakan beliau tidak mengetahui bahawa nilai keseluruhan barangan kemas itu dianggarkan berjumlah RM1.7 juta pada tahun 2016, dan meningkat kepada RM4.1 juta pada 2023 seperti yang diberitahu oleh seorang saksi pakar.
Turut dibicarakan bersama Ag Mohd Tahir, ialah isterinya, Fauziah, serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 66.
Ketiga-tiga mereka menghadapi 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim manakala Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili Datuk Ansari Abdullah dan Erveana Ansari.
Lam Beng pula dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.
Perbicaraan akan bersambung pada 23 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
