Dah serang orang, minta orang lain pujuk pula

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

PERANG antara Israel-Iran kini semakin memuncak dengan secara rasminya Amerika Syarikat membantu rakan sekutunya mengebom tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah penting di Fordow, Natanz dan Isfahan pada Ahad.

Biarpun Donald Trump mengeluarkan kenyataan akan membuat keputusan untuk menyerang Iran dalam tempoh dua minggu lagi, tetapi nampak gayanya Presiden AS itu telah dicucuk hidung oleh Israel supaya membantu melakukan serangan lebih awal.

Cukup bangga Trump dengan kejayaan siri pengeboman menggunakan pesawat B-2 Amerika dalam operasi digelar Operation Midnight Hammer.

Yang buat Merak Jalanan tak faham, dia sifatkan serangan itu sebagai detik bersejarah buat dunia dan Israel. Di mana sejarah dunianya?

Lagi kelakar Merak Jalanan rasakan, AS minta tolong China pula supaya pujuk Iran jangan tutup Selat Hormuz. Sudah serang orang, minta orang lain pujuk pula.

Alasan mereka, penutupan selat itu hanya akan menyukarkan China memandangkan Beijing bergantung sepenuhnya kepada laluan tersebut untuk bekalan minyak dan boleh membunuh ekonomi Tembok Besar itu.

Itulah AS. Pada mereka apa yang mereka buat sememangnya betul. Silap hari bulan nanti jadi macam Perang Iraq. Dituduhnya Iraq ada senjata pemusnah besar-besaran tetapi Laporan Iraq Survey Group (ISG) dan CIA pada tahun 2004 mengesahkan bahawa Iraq tidak memiliki stok kimia, biologi atau nuklear semasa pencerobohan pada Mac 2003.

Tindakan yang dibuat Trump itu pada Merak Jalanan tidak langsung melayakkan dirinya untuk Hadiah Keamanan Nobel 2026 walaupun Pakistan mencalonkan atas faktor campur tangan diplomatiknya dalam menangani ketegangan ketenteraan antara India dan Pakistan bulan lalu.

Ini sesuai dengan orang kita selalu kata; “Cakap tak serupa bikin.”

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!