Lelaki dijel 20 tahun sebabkan kematian isteri sedang hamil 6 bulan

SANDAKAN - Seorang lelaki dihukum penjara selama 20 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian isterinya yang sedang hamil enam bulan ketika melakukan hubungan seks ganas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rusdi Mohd Nor, 38, di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah.
Mohd Rusdi didapati menyebabkan kematian tanpa niat terhadap isterinya, Dr Azma Ab Rajab, 36, yang juga seorang pegawai perubatan, pada 9 November 2022 antara jam 1 pagi hingga 10 pagi di sebuah kondominium di Jalan Utara, di sini.
Tertuduh yang merupakan seorang penganggur disabitkan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Hakim dalam keputusannya menyatakan bahawa mahkamah telah menimbangkan faktor mitigasi yang dikemukakan peguam, kenyataan daripada keluarga mangsa serta hujahan pihak pendakwaan berkenaan faktor-faktor yang wajar diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Mahkamah juga mengambil kira bahawa tiada bukti menunjukkan pembunuhan itu dirancang dan tiada unsur keganasan rumah tangga sebelum kejadian berlaku.
“Pihak pendakwaan berhujah dan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap seorang suami dan bakal bapa, yang kini terpaksa menanggung beban seumur hidup bukan sahaja kerana isterinya meninggal dunia di tangannya, malah anak sulung mereka, mungkin satu-satunya zuriatnya turut kehilangan nyawa akibat perbuatannya sendiri,” katanya.
Mahkamah turut menimbangkan hakikat bahawa kejadian itu mengakibatkan kematian seorang bayi yang belum sempat dilahirkan serta pengakuan tertuduh bahawa kematian berlaku secara tidak sengaja semasa mereka melakukan hubungan seks ganas.
Tertuduh yang diberi peluang bercakap memohon maaf atas kejadian yang berlaku.
“Saya tahu bagi keluarga arwah Azma, ini adalah kehilangan yang besar dan satu beban yang berat.
“Tapi saya sebagai seorang suami yang baru saja berkahwin dengan arwah lebih merasai kehilangan atas pemergiannya. Saya mohon maaf sekali lagi,” katanya dalam keadaan sebak.
Semasa rayuan, peguam Datuk Ram Singh bersama Prem Elmer Ganasan memohon hukuman diringankan dengan menyatakan bahawa Mohd Rusdi menyesal dan insaf atas kejadian yang berlaku secara spontan tanpa niat membunuh.
Ram dalam hujahannya berkata, ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan sepanjang tempoh tahanan, beliau memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Tiada ciri atau tanda menunjukkan perbuatan mencekik. Penemuan utama hanyalah kecederaan di kawasan mulut, hidung dan kedua-dua belah leher.
“Tiada sebarang bukti menunjukkan berlaku pertengkaran antara mereka sepanjang tempoh perkahwinan. Kejadian ini berlaku selepas lima bulan mereka berkahwin,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Risal Abd Fikkah berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan punca kematian adalah akibat asfiksia melalui perbuatan menekup (smothering) dan bukan kematian serta-merta.
“Perbuatan itu menyebabkan si mati kehilangan nafas terakhirnya ketika sedang bergelut untuk hidup.
“Pihak pendakwaan juga ingin menekankan bahawa semasa kematiannya, si mati sedang mengandung anak sulung mereka, yang juga anak kepada tertuduh,” katanya.
Risal menambah, mangsa merupakan pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
“Beliau menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab walaupun sedang hamil dan tidak pernah gagal melaksanakan peranannya sebagai seorang isteri.
“Namun akhirnya, beliau menemui ajal secara tragis di tangan suaminya sendiri setelah mencurahkan bakti menyelamatkan nyawa orang lain, namun gagal menyelamatkan dirinya sendiri.
“Tertuduh pula tidak pernah menanggung perbelanjaan keluarga, sebaliknya si mati merupakan pencari nafkah tunggal sepanjang mereka tinggal di Sandakan,” katanya.
Untuk rekod, sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 23 saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi, termasuk tertuduh dan seorang pakar perunding forensik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
