Kematian Syed Danial: Bekas pekerja IT kekal dijel 16 tahun
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mengekalkan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap bekas pekerja teknologi maklumat (IT), yang tular di media sosial dalam insiden perlanggaran kereta sehingga menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuh Raya Utara Selatan, pada 2019.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menolak rayuan Yew Wei Liang, 47, selaku perayu, untuk mengurangkan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ketika membaca keputusan sebulat suara, Hakim Che Ruzima berkata, mahkamah terdahulu telah membuat keputusan yang betul.
Menurutnya, mahkamah memandang berat kejadian yang berlaku yang mana ia dapat memberi mesej kepada masyarakat.
“Kita tidak boleh mengambil undang-undang ditangan sendiri dan bertindak sesuka hati.
“Kami mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat tidak berlebihan, maka hukuman dikekalkan dan rayuan perayu ditolak," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak rayuan silang pihak pembelaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dihadapi lelaki itu.
Sementara itu, panel hakim juga menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan kes itu kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman berkenaan atas kesalahan menyebabkan kematian dan bukannya membunuh.
Menurutnya, mahkamah boleh membuat ‘inferens’ bahawa terdapat satu niat untuk mencederakan dan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan, meskipun tertuduh menyatakan, kejadian itu berlaku dengan cepat.
Katanya, dalam keterangan bela diri, tertuduh memberitahu melihat Syed Muhammad Danial memegang kayu besbol ke kereta dipandunya.
Beliau berkata, ia menyebabkan tertuduh menukar gear daripada undur kepada pandu sebelum melanggar mangsa.
"Tertuduh menyatakan dia rasa nyawa terancam dan ingin melindungi diri dan isterinya yang ketika itu mengandung.
“Bagaimanapun, berdasarkan rakaman video diambil oleh isteri tertuduh di tempat duduk penumpang, menunjukkan tertuduh bukan dalam keadaan untuk melindungi diri dan harta (kereta) tetapi keadaan marah,” katanya.
Sementara itu, peguam, Datuk NSivananthan yang mewakili Wei Liang berkata, kejadian berlaku terlalu cepat.
“Ketika itu dia 'blank' atau kosong, perbuatan anak guam sekadar mahu mempertahankan diri dari dipukul oleh mangsa menggunakan kayu besbol," katanya.
Susulan itu beliau merayu mahkamah mengenakan hukuman penjara antara tujuh hingga lapan tahun terhadap perayu.
Pada 7 Disember 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi Wei Liang hukuman penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, di Lebuh Raya Utara Selatan, enam tahun lalu.
Hakim, Julia Ibrahim menjatuhi tertuduh hukuman itu selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Setelah menimbangkan semua faktor yang dikemukakan, Hakim Julia berpendapat, hukuman yang sesuai dan wajar ialah tertuduh dihukum penjara bermula tarikh tangkap, 10 Ogos 2019.
Pada 22 Ogos 2019, Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

