Jururawat dihukum penjara seumur hidup bunuh lima bayi

Seorang jururawat dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan membunuh lima bayi dan cuba membunuh lapan lagi di sebuah hospital di Argentina. Gambar hiasan
Seorang jururawat dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan membunuh lima bayi dan cuba membunuh lapan lagi di sebuah hospital di Argentina. Gambar hiasan
A
A
A

BUENOS AIRES – Seorang jururawat dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan membunuh lima bayi dan cuba membunuh lapan lagi di sebuah hospital di Argentina.

Menurut laporan AFP, tertuduh, Brenda Cecilia Aguero, didakwa menyuntik kalium dan insulin ke dalam tubuh bayi-bayi baru lahir antara Mac hingga Jun 2022. Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa ubat-ubatan tersebut diambil dari troli kecemasan tanpa sebarang kawalan inventori.

Di bawah undang-undang Argentina, Aguero tidak layak untuk mendapat parol sebelum menjalani hukuman penjara selama 35 tahun.

Hukuman tersebut dibacakan oleh kerani mahkamah melalui siaran rakaman yang disiarkan media tempatan pada Rabu.

Kesemua bayi berkenaan dilaporkan dilahirkan dalam keadaan sihat namun meninggal dunia secara tidak dapat dijelaskan pada peringkat awal di wad neonatal Hospital Ibu dan Anak di wilayah Cordoba, kira-kira 600 kilometer barat laut Buenos Aires.

Lapan lagi bayi berjaya diselamatkan hasil campur tangan perubatan yang pantas.

Perbicaraan turut membabitkan pertuduhan terhadap 10 individu lain termasuk bekas pegawai wilayah dan petugas kesihatan atas dakwaan menutup kes serta kecuaian dalam menjalankan tugas.

Antara yang didakwa termasuk bekas Menteri Kesihatan dan Setiausaha Kesihatan Wilayah Cordoba serta bekas Pengarah Hospital.

Aguero, yang ditahan pada 2022, menafikan semua pertuduhan dan sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa “mereka tiada bukti” serta menuduh media menggambarkannya sebagai pembunuh bersiri.

Artikel Berkaitan:

Daripada 10 tertuduh lain, lima didapati bersalah dan dijatuhi hukuman lebih ringan, manakala lima lagi dibebaskan termasuk bekas pegawai wilayah, menurut laporan media tempatan Infobae.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!