Kelantan bangunkan Harum Manis Al-Falah ganti tembakau di Bachok

PASIR MAS – Kerajaan Kelantan sedang membangunkan tanaman mempelam harum manis secara besar-besaran di kawasan bekas penanaman tembakau di Bachok sebagai sebahagian daripada usaha menjadikannya tanaman bernilai tinggi dan berdaya saing untuk rakyat negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu dijenamakan sebagai Harum Manis Al-Falah bagi membezakannya daripada Harumanis Perlis yang mempunyai hak cap dagangan tersendiri.
Menurutnya, tanaman harum manis mula diusahakan di kawasan Melawi, Bachok melibatkan peserta-peserta ladang dengan keluasan permulaan sekitar 8.09 hektar dan kini dalam fasa peluasan kepada 20.23 hektar.
“Di Bachok, kami mula dengan sepuluh peserta tahun lepas. Tahun ini, tambah lagi sepuluh peserta. Setiap peserta diberi tanah 0.4 hektar dengan kira-kira 40 pokok harum manis boleh ditanam.
“Kawasan itu dikenal pasti melalui kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Jabatan Pertanian sebagai sesuai kerana cuaca panas dan tanah berpasir hitam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Projek Pembinaan Reban Ayam Tertutup Automatik di Agrovalley Rong Chenok, di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, hasil satu pokok harum manis boleh mencecah pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 setahun sekiranya dijaga rapi dan menghasilkan buah berkualiti gred A.
“Kalau satu pokok berbuah antara 100 hingga 200 biji dan dijual pada harga premium, peserta boleh memperoleh sehingga RM40,000 hingga RM50,000 setahun untuk sehektar.
“Di Perlis, kita lihat pokok-pokok harum manis yang dijaga baik mampu menghasilkan pulangan luar biasa.
“Kami yakin potensi sama boleh berlaku di Kelantan,” katanya.
Menurut beliau, tanaman harum manis dijadikan alternatif utama bagi menggantikan tembakau yang semakin berkurangan nilai komersialnya, selain selari dengan dasar pertanian moden negeri.
“Ini sebahagian pelan tanaman gantian. Kami galakkan bekas penanam tembakau untuk beralih kepada tanaman bermusim yang berimpak tinggi.
“Kalau Harum Manis Al-Falah ini berjaya, ia boleh menggantikan nilai tembakau yang selama ini menjadi punca pendapatan utama sesetengah keluarga di Bachok, Melawi dan kawasan sekitar,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan menyediakan bajet permulaan termasuk anak benih dan sokongan teknikal kepada peserta, manakala mereka akan diberi tanggungjawab mengurus kebun sepenuhnya.
Sehingga kini, sebanyak 2,500 pokok harum manis telah ditanam di kawasan Bachok sahaja, selain beberapa daerah lain termasuk Pasir Mas yang turut terlibat dalam fasa percubaan.
“Tahun lepas kami sudah mula menuai, dan tahun ini memasuki musim kedua.
“Kami sedang mengenal pasti kawasan tambahan termasuk di tanah-tanah pertanian lama yang kurang digunakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

