Serangan AS: Iran lancar peluru berpandu besar-besaran ke atas Israel

Antara lokasi yang terkena serangan peluru berpandu dari Iran hari ini. - Gambar/ Reuters
Antara lokasi yang terkena serangan peluru berpandu dari Iran hari ini. - Gambar/ Reuters
A
A
A

BAITULMUQADDIS – [DIKEMAS KINI] Israel berdepan serangan peluru berpandu pada Ahad ketika Iran menegaskan bahawa semua pilihan kini terbuka untuk mempertahankan kedaulatannya, susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang menurut Presiden AS, Donald Trump, telah “menghancurkan” fasiliti nuklear utama negara itu.

Trump mengarahkan serangan ke atas tapak nuklear Iran dan menyifatkannya sebagai satu kejayaan ketenteraan yang cemerlang, sambil memberi amaran bahawa serangan susulan akan dilakukan jika keamanan tidak dapat dicapai.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran ke atas Israel dan berikrar akan terus mempertahankan kedaulatan negara.

Konflik Iran-Israel: Apa yang kita tahu setakat ini?

Kuasa-kuasa besar dunia memberi amaran terhadap peningkatan konflik yang membimbangkan selepas usaha diplomatik gagal, dengan jumlah korban meningkat di kedua-dua pihak – Iran dan Israel.

Beberapa jam selepas Trump menghantar pesawat pengebom B-2 ke Iran, tentera Israel mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar segera berlindung daripada serangan peluru berpandu yang disifatkan lebih hebat berbanding hari-hari sebelumnya.

Perkhidmatan ambulans Israel melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang cedera dalam serangan pagi itu. Siren serangan udara dibunyikan di seluruh negara, memaksa jutaan rakyat mencari perlindungan di bilik keselamatan dan tempat perlindungan bom.

Letupan dan pemintasan peluru berpandu dapat dilihat di ruang udara Baitulmuqaddis dan kawasan lain. Rakaman dari Tel Aviv dan Haifa menunjukkan pasukan penyelamat menggeledah runtuhan pangsapuri yang musnah, kereta yang remuk, serta membawa keluar mangsa dari rumah yang rosak teruk.

Artikel Berkaitan:

Mengulas serangan AS terhadap Iran, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata: “Peristiwa pagi ini amat dahsyat dan akan membawa kesan berpanjangan,” sambil menyifatkan serangan AS sebagai pelanggaran serius terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear.

“Iran berhak menggunakan semua opsyen untuk mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan rakyatnya,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Organisasi Tenaga Atom Iran pula menegaskan bahawa pembangunan industri nuklear negara itu tidak akan dihentikan. Sementara itu, pengulas televisyen rasmi menyatakan bahawa setiap warga dan anggota tentera AS di rantau Asia Barat kini dianggap sebagai sasaran yang sah.

Susulan konflik yang memuncak, kebanyakan syarikat penerbangan antarabangsa dilaporkan terus mengelak ruang udara Timur Tengah, menurut laman penjejakan penerbangan FlightRadar24. - Awani 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!